Lima terbunuh, dua cedera dalam serangan di Norway

COPENHAGEN, 14 OKT – Lima terbunuh dan dua yang lain cedera dalam satu serangan oleh seorang lelaki bersenjatakan busur dan anak panah di pusat bandar Kongsberg, kira-kira 82km barat daya ibu kota Norway, Oslo kelmarin, kata polis.

Seorang daripada dua mangsa yang cedera adalah anggota polis berpakaian awam. Kedua-dua mangsa kini dirawat di hospital, menurut maklumat yang disahkan oleh Ketua Polis daerah tenggara, Oyvind Aas kepada Perbadanan Penyiaran Norway (NRK) kelmarin.

“Sekitar pukul 18:13 waktu tempatan, polis menerima maklumat mengenai seorang individu yang bersenjatakan busur dan anak panah menyerang orang awam,” lapor Xinhua memetik Aas dalam sidang media sebelumnya.

Menurut ketua polis, suspek ditangkap di kawasan yang sama sekitar jam 18:40 waktu tempatan. Berlaku pergelutan antara polis dan suspek yang cuba melarikan diri sebelum ditangkap.

“Berdasarkan maklumat yang kami ada, suspek bertindak sendirian. Berdasarkan kejadian itu, ia wajar dipertimbangkan sebagai serangan pengganas, namunterlalu awal untuk membuat kesimpulan,”kata Aas. – Bernama