Lima warga China didakwa godam firma AS

WASHINGTON, 17 SEPT – Jabatan Keadilan telah mendakwa lima warga China dengan penggodaman yang menyasarkan lebih 100 syarikat dan institusi di Amerika Syarikat (AS) dan luar negara, firma termasuk media sosial dan permainan video serta universiti dan pembekal telekomunikasi, kata pegawai semalam.

Kelima-lima defendan masih melarikan diri, tetapi pendakwa berkata dua ahli perniagaan Malaysia didakwa bersubahat dengan penggodam untuk mengaut keuntungan hasil penggodaman industri permainan video bernilai berbilion dolar telah ditahan di Malaysia pada minggu ini dan kini berdepan prosiding ekstradisi.

Pendakwaan adalah sebahagian usaha lebih luas oleh pentadbiran Trump untuk menghapus jenayah siber oleh China. Pada Julai, pendakwa menuduh penggodam bekerja dengan kerajaan China untuk menyasarkan syarikat yang membangunkan vaksin untuk koronavirus dan mencuri harta intelektual bernilai ratusan juta dolar dan rahsia dari syarikat di seluruh dunia.

Meskipun dakwaan tersebut disesuaikan semasa pandemik, dakwaan yang diumumkan semalam, dan mangsa yang dikenal pasti, adalah bersifat lebih meluas dan membabitkan serangan yang dilakukan untuk keuntungan dan juga tujuan pengintipan.

Dalam mendedahkan tiga dakwaan berkaitan, pegawai mengumumkan skim penggodaman yang menyasarkan pelbagai sektor perniagaan dan akademik dan dijalankan oleh kumpulan berpangkalan di China dikenali sebagai APT41. Kumpulan itu telah dijejaki sejak tahun lalu oleh firma keselamatan siber Mandiant Threat Intelligence, yang menyifatkan penggodam sebagai prolifik dan berjaya menggabungkan operasi jenayah dan pengintipan. – AP

Penolong Peguam Negara Jeffery Rosen bercakap di Jabatan Keadilan di Washington kelmarin. – AP