Lima warga Palestin terbunuh ditembak tentera Israel

PALESTIN, 26 SEPT – Operasi Israel untuk membongkar sebuah tempat pejuang Islam Hamas di Semenanjung Barat mencetuskan pertempuran bersenjata di beberapa lokasi hari ini, membunuh lima orang warga Palestin dan mencederakan dua askar Israel, kata sumber rasmi.

Kementerian kesihatan Palestin mengesahkan sejumlah lima kematian akibat tembakan Israel, termasuk seorang di Burqin berhampiran Jenin dan tiga lagi di wilayah Biddu yang terdiri daripada beberapa kampung antara Ramallah dan Baitulmaqdis.

Seorang jurugambar AFP melihat kesan darah di kampung Beit Annan, di daerah Biddu. Jurucakap tentera Israel, Amnon Shefler memberikan jumlah kematian yang sama kepada AFP, sambil menambah bahawa kematian itu adalah pejuang Hamas yang terbunuh semasa operasi bersama Israel untuk menangkap ‘pengganas’. Kenyataan tentera mengatakan dua askarnya ‘cedera parah’ akibat tembakan Palestin di Burqin dan masih berada di hospital, tanpa memberikan perincian mengenai luka mereka.

“Pasukan keamanan mengambil tindakan semalam di Judea dan Samaria terhadap Hamas yang hendak melakukan serangan,” kata Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett.- AFP