Tuesday, March 25, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lima warga tempatan cedera kemalangan bot

    Oleh Sim Y. H.

    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Sebuah bot penumpang komersial yang membawa tiga orang penumpang mengalami kemalangan sendiri lalu tersadai ke tebing sungai dalam kejadian yang berlaku di perairan Sungai Temburong, Daerah Temburong, kelmarin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Cawangan Operasi G, Daerah Temburong, di sini, hari ini, panggilan mengenai kejadian berkenaan diterima pada pukul 8:22 pagi dan sebuah perahu, JBP17 bersama lima orang anggota bomba dan penyelamat yang diketuai oleh Ahli Bomba Kelas Satu No16 Jeludin bin Haji Hamdan dari Balai Bomba Bangar dikejarkan ke tempat kejadian.

    Kenyataan menjelaskan bahawa apabila anggota bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian, mereka mendapati sebuah bot penumpang komersial yang membawa tiga orang penumpang telah mendapat kemalangan sendiri lalu tersadai ke tebing sungai.

    Anggota bomba dan penyelamat bertindak dengan memindahkan pekerja bot berkenaan ke perahu bomba dan kemudian diserahkan kepada pihak Ambulans Laut.

    Sementara itu, tiga orang mangsa yang lain telah pun dibawa oleh orang awam sebelum bomba sampai di tempat kejadian dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam Temburong untuk menerima rawatan.

    Kenyataan menyatakan, pemandu bot dan pembantu pemandu adalah lelaki warga tempatan manakala penumpang-penumpang bot berkenaan adalah dua orang perempuan warga tempatan dan seorang lelaki warga tempatan di mana kesemua mangsa mendapat cedera ringan yang disahkan oleh doktor bertugas di hospital berkenaan.

    Kenyataan juga menyatakan bahawa punca kemalangan adalah akibat mengantuk dan anggaran kerugian masih dalam penyiasatan.

    JBP menyarankan pengusaha dan pemandu bot untuk sentiasa memastikan bot mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan, sentiasa berhati-hati serta mematuhi undang-undang dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam.

    Bot penumpang komersial yang mendapat kemalangan sendiri lalu tersadai ke tebing sungai dalam kejadian di perairan Sungai Temburong, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda