Lima wilayah di China berdepan penularan jangkitan virus

BEIJING, 28 JULAI – Satu kluster baharu COVID-19 di sebuah bandar di timur laut China dikesan merebak ke wilayah lain dan mencetuskan beberapa larangan baharu, kata pihak berkuasa, hari ini, ketika Beijing berusaha mengekang gelombang kedua jangkitan itu.

China berjaya mengawal penularan wabak itu sejak ia mula dikesan di negara itu hujung tahun lalu, menerusi beberapa siri perintah berkurung yang ketat dan sekatan perjalanan.

Bagaimanapun, sejak beberapa bulan lalu, beberapa penularan kecil kembali mencetuskan kebimbangan, dengan China melaporkan 68 jangkitan baharu hari ini, jumlah kes harian tertinggi sejak April lalu.

Daripada jumlah itu, 57 kes dikesan di Xinjiang, dengan penularan itu memaksa jutaan penduduknya diuji serta dikenakan perintah berkurung yang ketat di pusat wilayah itu, Urumqi.

Enam lagi kes turut dilaporkan di Dalian, dengan penularan awal dikesan di pusat pemprosesan makanan laut minggu lalu. Ia menjadikan jumlah kes baharu di Dalian kepada 44.

Pihak berkuasa kesihatan memaklumkan, kluster Dalian dikesan merebak ke sembilan bandar di lima wilayah negara itu, termasuklah di Fujian. – AFP

Seorang anggota perubatan ketika melakukan ujian swab ke atas seorang penduduk tempatan di pusat ujian pengambilan sampel koronavirus di Dalian, kelmarin. – AFP