Lindelof jalani ujian, alami masalah pernafasan

MANCHESTER, ENGLAND, 14 DIS – Pemain pertahanan Manchester United, Victor Lindelof sedang menjalani ‘siasatan berjaga-jaga’ selepas mengalami masalah pernafasan semasa perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), kata kelab itu hari ini.

United berkata pemain antarabangsa Sweden itu ‘telah pulih dengan baik’ daripada insiden semasa kemenangan 1-0 ke atas Norwich pada Sabtu lalu. Dia terpaksa diganti pada separuh masa kedua.

“Semua petunjuk menunjukkan bahawa ini tidak dikaitkan dengan sebarang wabak COVID-19 dalam kelab,” kata Manchester United dalam satu kenyataan singkat, beberapa jam selepas mengumumkan bahawa perlawanan liga menentang Brentford hari ini ditangguhkan kerana beberapa pemain dan kakitangan United diuji positif dijangkiti oleh COVID-19 pada Ahad lalu.

Lindelof telah memakai alat pemantau jantung sejak perlawanan Sabtu lalu, tulis isterinya hari ini dalam blognya yang dibaca secara meluas.

“Semuanya nampak baik-baik sahaja dan kami menunggu jawapan kepada ujian terakhir yang akan berakhir hari ini,” tulis Maja Nilsson Lindelof. – AP

Victor Lindelof ketika memegang dadanya sebelum terpaksa dikeluarkan semasa perlawanan EPL menentang Norwich City pada 11 Disember. – AP