Lindungi 80 peratus hutan Amazon 2025

MARSEILLE, 6 SEPT – Haruskah 80 peratus daripada hutan Amazon diisytiharkan sebagai kawasan dilindungi menjelang tahun 2025?

Badan pemuliharaan tertinggi dunia semalam dijangka memutuskan sama ada 1,400 daripada anggotanya boleh mengundi mengenai cadangan kontroversi ini, dikemukakan oleh kumpulan penduduk asli.

Dihantar di bawah peruntukan kecemasan kepada Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), langkah tersebut menggesa ‘pelan tindakan global’ untuk menghen-tikan aktiviti pembasmian hutan yang berleluasa dan perlombongan galian dan minyak berharga.

Sejak dua dekad lalu, Amazon telah kehilangan hutan seluas 1,000 kilometer persegi setiap tahun, menurut penilaian berdasarkan data satelit.

“Ia merupakan keadaan darurat, bukan sahaja untuk kami tetapi juga kemanusiaan,” beritahu Jose Gregario Diaz Mirabal, ketua penduduk Curripaco di Venezuela, kepada AFP di tempat Kongres di Marseille.

Diaz Mirabal menghantar cadangan Amazon untuk pertubuhan yang baru ditubuhkan COICA, yang mewakili lebih daripada dua juta penduduk asli di sembilan negara Amazon.

Penyelidikan terbaharu telah mengingatkan pemusnahan besar-besaran hutan tropika dan perubahan iklim sedang mendesak Amazon mencecah ‘tahap krisis’ yang akan melihat hutan tropika berubah menjadi landskap seperti savana.

Ia bukan sahaja mengubah iklim rantau, tetapi juga memberi kesan kepada sistem iklim global, kata ahli sains. – AFP

Gambar fail menunjukkan asap dan api daripada kebakaran di hutan hujan Amazon, selatan Novo Progresso di negeri Para, Brazil. – AFP