KUALA LUMPUR, 5 JULAI – Pemain perseorangan wanita Malaysia, K Letshanaa menyifatkan rakan sepelatih, Wong Ling Ching bakal menjadi pencabar utamanya selepas pemain pilihan pertama, Goh Jin Wei menarik diri daripada Kejohanan Badminton Kebangsaan 2023.
Juara Cabaran Antarabangsa Uganda 2023 itu berkata Ling Ching, pemain pilihan ketiga kejohanan, mempunyai kelebihan membaca corak permainannya jika mereka bertemu pada peringkat seterusnya, terutamanya kini mereka berlatih bersama di bawah bimbingan K Yogendran sejak Mei lalu.
“Saya ingatkan Jin Wei akan main sebab kalau ada peluang boleh bertemu di final, namun malangnya Jin Wei menarik diri, Namun, saya tetap akan fokus perlawanan demi perlawanan dan tidak mahu berfikir terlampau jauh.
“Selepas ketiadaan Jin Wei, saya rasa pencabar saya ialah Ling Ching sebab kami memang berlatih sekali. Apabila hari-hari berlatih bersama pasti dia sudah tahu cara pukulan saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.
Pada pusingan kedua hari ini, Letshanaa, yang beraksi atas tiket Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tidak mempunyai masalah untuk menewaskan pemain Johor, Dania Sofea Zaidi dengan straight set 21-8, 21-14 manakala Lin Ching, yang mewakili BAM, menumpaskan pemain Kedah, Ooi Yu Han 21-9, 21-12.
Esok, Letshanaa, pemain pilihan kedua, akan bertemu Teh Won Quin dari Selangor dan Lin Ching menentang seorang lagi pemain Selangor, K Niklasha. – Bernama
