Lingard pamer aksi cemerlang buat West Ham

LONDON, 6 APRIL – Jesse Lingard memberi inspirasi buat West Ham mencipta kemenangan 3-2 di Wolves seterusnya mara ke kedudukan keempat Liga Perdana sebentar tadi ketika harapan Everton menamatkan kedudukan di empat tempat teratas terganggu dengan keputusan seri 1-1 berdepan Crystal Palace.

Prestasi menakjubkan Lingard sejak menyertai Hammers selepas dipinjamkan dari Manchester United pada Januari menyaksikan dia kembali mendapat panggilan pengurus England, Gareth Southgate bulan lalu.

Pemain tengah itu menambah keyakinan bagi mendapat tempat dalam skuad Southgate ke Euro 2020 apabila dia berlari dari kawasan sendiri untuk meledak jaringan keenam dalam lapan penampilan buat West Ham selepas enam minit permainan.

Lingard kemudian membantu dua lagi gol skuadnya ketika tuan rumah mendahului 3-0 dalam tempoh 38 minit.

Hantarannya kepada Arthur Masuaku membolehkan pemain itu menghantar bola lintang buat Pablo Fornals meledak gol kedua Hammers.

Aksi Lingard ketika menjaringkan gol buat pasukannya semasa menentang Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux, kelmarin. – AP

Lingard kemudian mara melepasi pertahanan lemah Wolves sebelum melorongkan bola buat Jarrod Bowen yang menyepak deras ke sudut gawang dikawal Rui Patricio.

“Dia bermain sangat bagus,” kata bos West Ham, David Moyes. “Malam ini dia nampak seperti pemain hebat sebenar.”

West Ham mara satu mata mengatasi Chelsea dalam pertarungan sengit untuk tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Leander Dendoncker membantu kebangkitan Wolves menerusi tandukan hasil hantaran Adama Traore sebelum tamat babak pertama.

Pemain gantian, Fabio Silva kemudian menjaringkan gol kedua 22 minit sebelum tamat.

Sementara itu Everton terlepas peluang menjarakkan mata apabila gol penyamaan Michy Batshuayi pada minit ke-86 menyelamatkan satu mata buat Eagles di Goodison Park.

Skuad Toffees terpaksa membayar harga yang mahal apabila banyak terlepas peluang selepas jaringan pembukaan James Rodriguez. – AFP