Lion Air teruskan operasi pencarian

JAKARTA, 17 Dis – Syarikat penerbangan Lion Air hari ini mengumumkan bahawa ia menyalurkan dana berjuta-juta dolar dalam usaha pencarian menggunakan sebuah syarikat Belanda bagi mencari kotak hitam kedua dan mangsa yang hilang daripada bangkai pesawat JT-610.

Pesawat Boeing 737 MAX hilang daripada radar 13 minit selepas berlepas dari Jakarta pada 29 Oktober lalu, terhempas ke perairan luar pantai utara Pulau Jawa, Indonesia dan membunuh kesemua 189 orang penumpang.

Pihak berkuasa telah menghentikan usaha mengenal pasti mangsa nahas bulan lalu, di mana hanya 125 orang mangsa telah dikenal pasti secara rasmi selepas ujian dijalankan ke atas jasad mereka yang disimpan dalam 200 beg mayat.

Berikutan permintaan daripada ahli keluarga mangsa, syarikat berkenaan berkata ia telah memperuntukkan sejumlah AS$2.6 juta untuk mengupah sebuah syarikat Belanda untuk meneruskan usaha pencarian menggunakan kapal MPV Everest.

“Operasi pencarian akan memfokuskan ke atas koordinasi terbaharu nahas bagi satu tempoh operasi selama 10 hari berturut-turut pada Disember,” menurut kenyataan syarikat berkenaan.

Salah seorang ahli keluarga mangsa nahas pesawat Lion Air menyertai bantahan bagi mendesak kerajaan Indonesia meneruskan usaha pencarian jasad yang masih hiang di luar istana presiden di Jakarta pada 13 Disember lalu. – AFP

MPV Everest, sebuah kapal sepanjang 142 meter yang memiliki peralatan kawalan jauh terkini, akan tiba di lokasi nahas pada Rabu ini.

Keadaan cuaca yang buruk telah menangguhkan perjalanannya dari pelabuhan Malaysia di Johor Baharu.

Berita pencarian bangkai pesawat menggunakan kapal baharu itu mendapat sambutan daripada Evi Syamsul Komar, yang mana anak buahnya salah seorang penumpang pesawat tersebut.

“Kami banyak mendengar banyak janji sebelum ini, kami tidak tahu siapa lagi yang mahu dipercayai, namun keluarga kami masih menunggu,” kata Komar kepada AFP.

Berpuluh-puluh ahli keluarga mangsa nahas pesawat berkenaan telah melancarkan bantahan di Jakarta minggu lalu, mendesak agar operasi pencarian diteruskan. – AFP