Lionel Messi akhiri karier di Inter Miami?

LOS ANGELES, 10 JUN – Lionel Messi boleh berpindah ke Inter Miami sebagai sebahagian daripada perjanjian kontrak baharu 10 tahun bagi bintang Argentina itu yang masih lagi dalam perbincangan bersama Barcelona, kata pemilik pasukan Major League Soccer (MLS) semalam.

Akhbar The Miami Herald melaporkan pemilik Inter, Jorge Mas dan pemilik bersama, David Beckham mengadakan perbincangan serius bersama Messi untuk menyertai francais Florida itu dalam tempoh jangka masa pendek yang disertai sekali dalam kontrak baharunya di Barcelona.

Laporan di Sepanyol berkata, di bawah penawaran kontrak baharu oleh Barcelona, Messi akan bermain dua musim lagi bersama gergasi La Liga itu sehingga berakhir kempen 2022/23 sebelum menamatkan kariernya dengan beraksi dua musim di Miami.

Beliau kemudiannya akan kembali semula ke Barcelona selama enam tahun sebagai duta global kelab berkenaan.

Mas memberitahu Herald semalam bahawa beliau yakin Messi akan beraksi di Miami.

Aksi Lionel Messi semasa melakukan pemanasan badan di Stadium Metropolitan Roberto Melendez di Barranquilla, Colombia, pada 8 Jun lalu. – AFP

“Saya dan David bekerja keras, kerana kami mahu membawa pemain terbaik ke sini dan Leo Messi adalah generasi terbaik zaman sekarang, malah sepanjang zaman.

“Saya sangat optimis Messi akan menyarung jersi Inter Miami kerana ia akan melengkapkan legasi terhebat dalam generasi kami dan akan memenuhi inspirasi pemilik Inter Miami dalam membina pasukan berkelas dunia,” katanya.

Spekulasi mengenai masa depan Messi semakin memuncak selepas pemain berusia 33 tahun itu akan menamatkan kontraknya dengan Barcelona hujung bulan ini.

Pemenang enam kali anugerah Ballon D’Or itu memberitahu televisyen Sepanyol Disember lalu dia berharap dapat beraksi di MLS satu hari nanti.

“Saya selalu mempunyai impian untuk dapat menikmati dan mempunyai pengalaman tinggal di Amerika Syarikat, menyertai liga di sana,” kata Messi kepada saluran La Sexta.

Sementara itu, pemilik bersama Beckham mengatakan pada Februari kelab itu berusaha untuk menarik pemain bintang berkaliber Messi dan Cristiano Ronaldo ke kelab.

“Kami selalu mahu membawa pemain hebat,” kata Beckham.

“Miami adalah tarikan yang bagus untuk semua orang dan pemain seperti Messi dan Ronaldo adalah yang kami impikan untuk dibawa ke sini.” – AFP