Liputan 4G di kawasan berpenduduk S’wak meningkat kepada 81.37%

KUALA LUMPUR, 24 NOV – Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak meningkat kepada 81.37 peratus pada suku ketiga 2021 berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku kedua tahun lepas. 

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menerusi jawapan yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini turut memaklumkan bahawa 79 tapak menara baharu telah disiapkan, selain 1,856 projek naik taraf stesen pemancar dan 61,414 premis tersedia gentian optik. 

KKMM memaklumkan ini adalah antara inisiatif menambah baik infrastruktur digital di negeri Sarawak melalui inisiatif JENDELA di bawah Fasa 1, setakat 31 Oktober lepas.

“Secara umumnya, pelaksanaan kesemua inisiatif JENDELA ini telah bermula sejak bulan September 2020 dan inisiatif yang dalam perancangan akan siap secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2022.

“Perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit pula kini dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat bermula November 2021 sehingga awal tahun 2022,” menurut jawapan itu. 

Kementerian itu memberi maklum balas demikian sebagai menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai perancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan dalam memastikan capaian Internet yang lebih baik di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar. – Bernama