Sunday, April 21, 2024
25 C
Brunei

    -

    Liputan 4G di Sarawak naik 82%

    KUALA LUMPUR, 3 MAC – Peratusan liputan rangkaian 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak meningkat kepada 82.86 peratus pada suku keempat 2021 berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku kedua 2020, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

    Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata liputan jalur lebar 4G di kawasan Parlimen Baram meningkat kepada 34.12 peratus (suku keempat 2021) berbanding 25.97 peratus (sebelum JENDELA dilaksanakan).

    Beliau berkata bagi tempoh sama, liputan rangkaian internet di Parlimen Betong turut meningkat kepada 78.65 peratus; Hulu Rajang (18.31 peratus); dan Serian (78.75 peratus).

    “Kementerian sentiasa cakna dan memberikan tumpuan kepada penambahbaikan perkhidmatan komunikasi melalui pelaksanaan JENDELA bagi menangani isu akses internet termasuk di Sarawak.

    “Menerusi Fasa 1 JENDELA sehingga 31 Jan di Sarawak, sebanyak 83 daripada 836 tapak menara telekomunikasi yang dirancang telah disiapkan manakala 2,576 daripada 3,213 inisiatif menaik taraf stesen pemancar juga disiapkan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

    Zahidi berkata sebanyak 105 lokasi dipasang dengan jalur lebar satelit termasuk 100 lokasi di kawasan Rumah Panjang di Parlimen Hulu Rajang.

    Beliau berkata pembinaan 60 menara baharu di Hulu Rajang pula telah mula dilaksanakan dan dijangka siap secara berperingkat bermula suku keempat 2022 hingga suku ketiga 2023.

    “Sebanyak 15 stesen pemancar sedia ada di Hulu Rajang yang sedang dinaik taraf di bawah Projek Penaiktarafan Stesen Pemancar dan dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2022,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...