Liputan Internet 4G di Sarawak capai 92% menjelang 2022

KUCHING, 5 DIS – Capaian liputan internet 4G di seluruh Sarawak akan meningkat ke tahap 92 peratus menjelang 2022 selepas selesainya pelaksanaan fasa 1 Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa.

Tahun depan, katanya, Sarawak akan menerima liputan internet 4G yang hampir sama dengan semua negeri di seluruh negara apabila ke-rajaan mempercepat proses menaik taraf prasarana dan infrastruktur jalur lebar dengan perbelanjaan mencecah RM4.09 bilion.

“Sehingga suku ketiga tahun ini, liputan 4G di Sarawak telah melebihi 83 peratus dan menjelang tahun 2022, Sarawak mesti mencapai liputan antara 91 peratus hingga 92 peratus dan jurang antara liputan di peringkat nasional yang seharusnya pada 97 peratus dapat dikurangkan,” katanya dalam segmen Randau Khas bersama Menteri KKMM di SARAWAKfm, di sini.

Annuar berkata, tumpuan utama kerajaan adalah untuk menaik taraf kawasan terpencil supaya wujud keadilan dalam menyediakan akses kepada perkhidmatan internet antara kawasan luar bandar dan bandar.

Sehingga kini, sejumlah 61,414 daripada sasaran 73,588 premis di seluruh Sarawak sudah dilengkapi dengan internet jalur lebar tetap, sementara baki premis sedang dalam proses melengkapkan rangkaian gentian optik dengan peruntukan sebanyak RM147 juta. – Bernama