Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liputan internet di kawasan berpenduduk S’wak capai 90.09 peratus

    KUALA LUMPUR, 28 NOV – Liputan Internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Sarawak telah mencapai 90.09 peratus setakat 31 Oktober lepas, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

    Beliau berkata selain inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak Berhad (SDEC) sedang melaksanakan pembinaan 600 menara baharu (SMART 600) bagi menambah baik liputan Internet di Bumi Kenyalang.

    “Kita akan minta supaya semua syarikat telekomunikasi mengerahkan segala jentera untuk memastikan kadar liputan bagi sesebuah negeri itu disamaratakan bagi semua kawasan.

    “Ini sudah pasti akan mengambil masa tetapi ini antara ikhtiar saya dan juga pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Fahmi menjawab soalan Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) mengenai status terkini permohonan pemasangan Starlink di kawasan Empangan Bengoh melibatkan tiga kampung yang merupakan pusat tarikan pelancong dari dalam dan luar negara yang memerlukan liputan Internet serta telekomunikasi.

    Beliau berkata kadar liputan Internet dan komunikasi di Parlimen Puncak Borneo mencapai 87.29 peratus setakat 31 Oktober lepas.

    Fahmi juga berkata dalam usaha menambah baik kadar berkenaan, sebanyak 28 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi menerusi inisiatif JENDELA Fasa 1 manakala tujuh lagi dijangka beroperasi pada suku pertama 2025.

    “Kesemua 145 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf dan 6,021 daripada 6,189 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik,” katanya sambil menambah baki inisiatif yang dalam pelaksanaan dijangka siap secara berperingkat hingga penghujung 2025. – Bernama

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda