Ahli kumpulan Blackpink, Lisa percaya kejayaannya yang dicapai hari ini disebabkan tuah selepas dia menukar nama asalnya Pranpriya Manobal.
Penyanyi Kpop keturunan Thailand ini memberitahu dia menukar namanya kepada Lalisa atas nasihat peramal nasib ketika berusia 13 tahun.
Pada ketika itu juga dia mengikuti uji bakat yang diadakan YG Entertaiment sebagai pelatih.
“Saya menghadiri uji bakat YG, tapi mereka tidak menghubungi saya selepas uji bakat itu.
Saya benar-benar mahu jadi artis,”katanya dalam wawancara bersama Billboard baru-baru ini.
Selain Lisa, Blackpink turut dianggotai oleh Jisoo, Jennie dan Rose. Lisa berkata, dia dan ibunya kemudian bertemu peramal nasib yang menasihatkan supaya dia menukar nama.
“Jadi peramal mengatakan kamu harus menukar nama. Seminggu selepas saya menukar nama, YG menghubungi saya untuk diambil menjadi pelatih. Saya seperti, wow!” ujar Lisa
Lisa adalah satu-satunya peserta uji bakat yang terpilih daripada 4,000 pemohon dan dilatih selama lima tahun sebelum memulakan debutnya dengan tiga anggota Blackpink yang lain.
Lisa muncul dengan single solo berjudul Lalisa yang merujuk kepada orang yang dipuji, tampil dengan ketara dalam usaha solo debutnya yang dilancarkan pada hari Jumaat lalu. – Agensi
