Litar Zandvoort bergema lagi

PARIS, 15 Mei – Grand Prix Belanda akan kembali musim depan di Zandvoort selepas ketiadaannya selama 35 tahun, umum para penganjur Formula Satu (F1).

Satu perjanjian untuk mengadakan perlumbaan itu di litar pusat peranginan tepi pantar bersejarah berdekatan Amsterdam telah ditandatangani bagi sekurang-kurangnya tiga tahun.

“Saya teruja untuk melihat Zandvoort akan menjadi sebahagian daripada kalendar, dan bersyukur atas kerja keras F1 untuk membawa kembali sukan ini ke Belanda,” kata Jean Todt, presiden bagi badan pentadbir sukan itu, FIA.

Pemandu Red Bull dari Belanda, Max Verstappen, menyokong kuat prospek untuk berlumba di tanah airnya.

“Ia adalah ikonik, litar bersejarah,” kata Verstappen dalam satu kenyataan pasukan.

Ketua eksekutif F1, Chase Carey berkata dengan kembalinya perlumbaan di Belanda adalah sejajar dengan dasar berkembar mereka ‘menghormati asal usul sejarah sukan di Eropah’ sambil mencari venue-venue lain.

“Oleh itu musim depan, kami akan mempunyai perlumbaan jalanan baharu yang akan diadakan di ibu negara Vietnam, Hanoi serta kembali ke Zandvoort, selepas ketiadaannya selama 35 tahun,” kata Carey.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan, kami telah melihat timbulnya minat terhadap F1 di Belanda, sebahagian besarnya disebabkan sokongan kuat bagi pemandu berbakat, Max Verstappen, seperti yang dilihat ramainya penyokong berbaju jingga di kebanyakan perlumbaan.”

Zandvoort akan dimodenkan bagi menepati standard kejohanan dunia F1. – AFP

Chase Carey (kanan) dan pengarah sukan, Jan Lammers dari F1 Group bergambar semasa penandatanganan persetujuan bagi mengesahkan Grand Prix di Zandvoort. – AFP