Lithuania kuarantin pelawat dari Perancis

VILNIUS, 31 JULAI – Lithuania berkata ia akan mengenakan kuarantin dua minggu ke atas pelawat yang tiba dari Perancis mulai Isnin selepas peningkatan dalam kes koronavirus di sana.

Ketua epidemiologi negara Baltik Loreta Asokliene memberitahu wartawan hari ini bahawa Perancis adalah tambahan terbaharu dalam senarai negara Lithuania yang telah melihat sekurang-kurangnya 16 kes koronavirus disahkan setiap 100,000 orang dalam tempoh dua minggu lalu.

‘Senarai hitam’ terkini yang mewajibkan semua pelawat yang tiba di negara, termasuk rakyat Lithuania, supaya mengasingkan diri selama dua minggu akan termasuk 12 negara anggota EU bermula pada Isnin ini, tambah beliau.

Negara lain adalah Austria, Belgium, Bulgaria, Croatia, Republik Czech, Luxembourg, Malta, Portugal, Romania, Sepanyol dan Sweden. Tiga syarikat penerbangan Eropah – airBaltic, Ryanair dan Wizzair – kini mengadakan penerbangan terus dari ibu negara Lithuania Vilnius ke Paris dan Nice. – AFP