Saturday, January 18, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Live Cook’ pilihan warga di Aidilfitri

    Oleh Ak Zaki Kasharan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN – Dalam menyambut kemeriahan sambutan Hari Raya yang disambut oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia, rakyat serta penduduk di negara ini tidak ketinggalan dalam meraikan sambutan Hari Raya dengan menjemput sanak saudara, kaum keluarga serta sahabat handai berkunjung ke rumah masing-masing bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara satu sama yang lain.

    Sehubungan dengan itu, pelbagai juadah serta hidangan telah disediakan bagi para tetamu dan jemputan yang berkunjung.

    Ada yang mengadakan acara rumah terbuka dengan menghidangkan juadah makanan yang bervariasi dari hidangan sate, lemang, ketupat, nasi, rendang, kambing panggang, soto dan bermacam-macam lagi bagi memeriahkan sambutan Hari Raya.

    Pada masa kini tren bagi menggunakan perkhidmatan ‘Live Cook’ atau memasak secara langsung telah menjadi pilihan di kebanyakan rumah-rumah yang mengadakan acara rumah terbuka berbanding memasak sendiri mahupun menggunakan perkhidmatan katering, yang sebelum ini sering digunakan bagi menjamu para tetamu yang hadir pada acara rumah terbuka tersebut.

    Antara menu perkhidmatan ‘Live Cook’ yang ditawarkan pada masa masa ini ialah mi goreng, roti canai, sate, aiskrim, cucur, takoyaki, kebab, soto, ambuyat dan sebagainya mengikut kehendak para pelanggan.

    Antara perkhidmatan live cook atau memasak secara langsung yang digunakan semasa acara rumah terbuka.

    Salah seorang pelanggan yang menggunakan perkhidmatan masakan ‘Live Cook’ bagi menyajikan makanan untuk para tetamu yang berkunjung ke rumah beliau semasa acara rumah terbuka sempena sambutan hari raya ialah Hajah Ahmidah binti Abdul Ghani.

    Beliau memilih untuk menggunakan perkhidmatan tersebut adalah kerana ia memudahkan dirinya bagi melayan para tetamu yang hadir kerana tidak lagi sibuk untuk bersusah payah menyiapkan juadah makanan bagi para tetamu.

    “Dengan menggunakan perkhidmatan live cook, saya dapat meluangkan lebih masa untuk melayan para tetamu yang hadir dan para tetamu turut berasa gembira apabila dapat disajikan dengan juadah makanan yang masih panas dan segar” tambahnya lagi.

    Selain dari itu, antara kelebihan perkhidmatan live cook ialah ia dapat mengurangkan pembaziran kerana hanya akan memasak bagi para tetamu yang memesan untuk makanan yang diinginkan, berbeza jika makanan yang telah disediakan dalam jumlah dan kuantiti yang banyak, yang mana makanan berkenaan berkemungkinan tidak dapat dihabiskan kesemuanya pada akhir acara sambutan tersebut.

    Kesegaran makanan yang disajikan dapat dijamin berbanding makanan yang telah disediakan awal yang berkemungkinan boleh berubah rasa dan menjadi tidak baik lagi apabila disajikan terlalu awal dan disimpan pada suhu dan tempat yang tidak bersesuaian di sepanjang acara rumah terbuka berlangsung.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda