Liverpool bangkit benam AC Milan

LIVERPOOL, 16 SEPT – Rembatan cantik Jordan Henderson menyaksikan Liverpool bangkit sekali lagi ketika berdepan AC Milan selepas mencatat kemenangan 3-2 di Anfield bagi permulaan cemerlang Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

The Reds kembali bangkit selepas ketinggalan 3-0 untuk menumpaskan gergasi Itali itu menerusi penentuan penalti dalam perlawanan akhir UCL 2005 di Istanbul namun kali ini tugas mereka dilihat lebih mudah untuk memalukan anak buah Stefano Pioli yang kembali ke pentas tertinggi peringkat Eropah.

Milan yang juga juara tujuh kali, ber-aksi dalam perlawanan pertama UCL selepas tujuh tahun dan diberikan layanan buruk sebaik muncul di kejohanan ini namun dua minit sebelum rehat mereka memberi ancaman untuk mengejutkan Liverpool.

Gol sendiri oleh Fikayo Tomori memberikan ganjaran buat pasukan tuan rumah hasil daripada penguasaan di awal perlawanan tatkala Mike Maignan bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan penalti Mohamed Salah.

Bagaimanapun, jaringan Ante Rebic dan Brahim Diaz memberi petanda bahawa peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasukan.

Penyerang Liverpool Diogo Jota semasa menanduk bola ke gawang dalam perlawanan Liga Juara-Juara UEFA kumpulan B di antara Liverpool dan AC Milan di Anfield di Liverpool, England. – AFP

Salah berjaya menyamakan kedudukan sebelum rembatan Henderson 21 minit sebelum perlawanan tamat mengesahkan kemenangan tuan rumah.

“Ia adalah aksi yang sangat menakjubkan. Sangat menarik, begitu menghiburkan di mana 10 hingga 15 minit kami seperti hilang arah,” kata jurulatih Liverpool.

Keputusan seri tanpa jaringan antara Atletico Madrid dan Porta bermakna Liverpool mengakhiri aksi pagi tadi dengan menduduki tangga teratas Kumpulan B.

Sementara itu, Klopp menyatakan bahawa kemenangan itu adalah sangat penting tatkala mereka diundi dalam kumpulan yang sukar.

“Milan datang dari undian empat kumpulan ini, itulah kualiti yang ada pada kumpulan ini.

“Kami perlu meraih setiap mata dalam kumpulan ini untuk mara seterusnya,” kata pengendali kelahiran Jerman itu. – AFP