LONDON, 28 OKT – Semakin minggu berlalu, Liverpool menunjukkan kualiti dan daya tahan untuk menjadi saingan utama Manchester City dalam kejuaraan Liga Perdana musim ini.
Liverpool dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk seri 2-2 di Arsenal kelmarin, dengan Mohamed Salah menjaringkan gol penyamaan kedua pada minit ke-81 di Stadium Emirates.
Hanya satu kekalahan dalam 13 perlawanan di bawah pengurus baharu, Arne Slot musim ini. Ujian minggu lalu telah menyaksikan The Reds menewaskan Chelsea 2-1 dalam liga, meraih kemenangan 1-0 di Leipzig dalam Liga Juara-Juara, dan kini bertarung kembali untuk seri di Arsenal — pencabar lain yang mungkin merebut mahkota City.
Sekiranya kekuatan Liverpool semakin meningkat, maka kekuatan Arsenal selaku pesaing City sejak dua musim mungkin semakin meragukan.
Kebimbangan terbesar Arsenal mungkin adalah senarai kecederaan dengan yang semakin bertambah apabila Gabriel dan Jurrien Timber keluar pada separuh masa kedua.
Dengan tonggak pertahanan William Saliba yang digantung permainan, Arsenal bermain dengan empat pertahanan sementara dan menerima padah apabila hantaran bola jauh ke hadapan dari Trent Alexander-Arnold menemui Darwin Nunez, yang membuat hantaran lintang untuk Salah membuat jaringan.
Keputusan kelmarin meletakkan Liverpool di tempat kedua, satu mata di belakang City, dan Arsenal lima mata selepas sembilan perlawanan.
Pemain sayap Arsenal, Bukayo Saka berkata rakan sepasukannya agak kecewa.
“Kami hanya merasakan kami tidak mempamerkan aksi terbaik kami selama 90 minit,” kata Saka, yang membuka jaringan pada minit kesembilan sekembalinya daripada kecederaan hamstring.
Virgil van Dijk menyamakan kedudukan dengan tandukan daripada sepakan sudut, selepas pemain tengah Sepanyol, Mikel Merino menanduk masuk sepakan percuma Declan Rice meletakkan Arsenal kembali di hadapan.
Gol penyamaan Salah menunjukkan dia telah menjaringkan gol menentang Arsenal dalam lapan musim berturut-turut dan kekal sebagai wira Liverpool.
Bagi pengurus Arsenal, Mikel Arteta, dia terpaksa menyaksikan aksi hambar setelah pasukannya kurang ‘berani’ menyerang serta kecederaan pertahanan dilaporkan pada separuh masa kedua. – AP