Liverpool belasah Watford, kekal rekod tanpa kalah

MANCHESTER, 17 OKT – Manchester United mencatat kekalahan pertama mereka di tempat lawan buat kali pertama selepas 30 perlawanan apabila tewas 4-2 kepada Leicester sementara Liverpool menewaskan Watford 5-0 semalam.

Mohamed Salah menjaringkan gol menarik dan Roberto Firmino meledak hatrik ketika Liverpool merosakkan perlawanan pertama Claudio Ranieri selaku pengurus Watford dengan kemenangan 5-0.

Salah membuktikan mengapa Liverpool begitu terdesak mendapatkan tandatangannya untuk lanjutan kontrak apabila dia menjaringkan gol menarik pada babak kedua di Vicarage Road.

Polisi Liverpool yang tidak akan menawarkan kontrak lumayan kepada pemain melebihi usia 30 tahun menyebabkan pemain berusia 29 tahun itu mahu meninggalkan Reds apabila kontraknya berakhir pada 2023.

Dengan 10 gol sepanjang 10 perlawanan setakat ini, Salah membuktikan dia cukup bernilai kepada Liverpool yang mungkin akan mengalah dan menawarkan kontrak lumayan sepertimana dinikmati barisan pemain bintang lain di Liga Perdana.

Untuk kali pertama dalam kariernya, Salah menjaringkan gol pada perlawanan kelapan berturut-turut.

Firmino pula meledak hatrik pertamanya untuk Liverpool sejak 2018 selepas menjaringkan gol minit ke-37, 52 dan pada masa kecederaan.

Ia juga detik manis untuk penyerang Senegal, Sadio Mane yang turut menyumbang gol seawal minit kesembilan. Liverpool adalah kelab EPL pertama menjaringkan tiga atau lebih gol sepanjang tujuh perlawanan berturut-turut di tempat lawan dalam kesemua pertandingan. – AFP

Pemain Liverpool Roberto Firmino meraikan gol ketiga pasukan mereka semasa perlawanan di antara Watford dan Liverpool di Vicarage Road, semalam. – AP