Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    Liverpool benam Leeds, akhiri kemarau kemenangan

    LEEDS, 18 APRIL – Liverpool membenam Leeds 6-1 selepas gol kontroversi Cody Gakpo mencetus kemenangan pertama The Reds dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris.

    Skuad kendalian Jurgen Klopp mendahului aksi di Elland Road apabila jaringan Gakpo dibenarkan walaupun bola terkena tangan Trent Alexander Arnold.

    Pegawai VAR dilaporkan tidak memeriksa insiden berkenaan kerana ia berlaku awal dalam perlawanan sebelum jaringan Gakpo, dan ia mencetus rasa tidak puas hati pemain-pemain Leeds.

    Mohamed Salah menambah derita Leeds apabila dia menggandakan jaringan empat minit kemudian sebelum Luis Sinisterra merapatkan jurang untuk tuan rumah.

    Dua gol Diogo Jota, satu lagi jaringan Salah serta ledakan gol akhir Darwin Nunez memastikan kemarau kemenangan dalam lima perlawanan Liverpool berakhir.

    Aksi Diogo Jota (kiri) menjaringkan gol semasa perlawanan di antara Leeds United dan Liverpool di Elland Road, Leeds, England pada 17 April 2023. – AP

    Liverpool kini di tangga kelapan, dua mata di belakang Brighton yang menghuni tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris.

    “Ia perlawanan terbaik kami musim ini dari pelbagai perspektif. Bahagian paling menarik bagi saya adalah pada minit ke-92 apabila kami mengasak pemain Leeds. Ia adalah aksi terbaik,” kata Klopp.

    Klopp telah membandingkan kritikan peminat terhadap Liverpool yang berpotensi gagal membuat perpindahan wang besar pada musim penutup akan datang seperti seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang meminta Ferrari untuk Krismas.

    Tetapi berdasarkan bukti persembahan yang teratur dan kebangkitan baru-baru ini daripada ketinggalan dua gol untuk seri 2-2 dengan pendahulu Arsenal, Liverpool masih mempunyai asas kukuh untuk kembali menonjol pada penggal akan datang.

    “Separuh masa kedua menentang Arsenal sangat penting bagi kami. Kami perlu melakukan apa yang kami lakukan malam ini lagi dan lagi,” kata Klopp.

    “Saya harap satu setengah perlawanan ini memberi kita petanda yang tepat untuk penghujung musim ini.

    “Saya ingin melihat kami mempunyai keinginan dan semangat yang sama. Itulah tugasnya, untuk membawanya secara konsisten.”

    Leeds tewas lagi lapan hari selepas dibelasah 5-1 di laman sendiri oleh Crystal Palace dan hanya berada dua mata di atas zon penyingkiran.

    Skuad kendalian Javi Gracia diejek penyokong sendiri selepas menjadi kelab kedua yang dibolosi sekurang-kurangnya lima gol dalam dua aksi Liga Perdana Inggeris berturut-turut di laman sendiri. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...