Liverpool bersedia hadapi Atletico

MADRID, 2 NOV – Jurgen Klopp ingin mengatakan perkara yang betul mengenai Atletico Madrid dan Diego Simeone tetapi selalu berakhir sebaliknya.

Liverpool akan menentang Atletico sekali lagi di saingan Liga Juara-Juara esok dalam perlawanan yang kali ini membawa makna yang lebih penting untuk pasukan Sepanyol.

Pasukan Klopp sudah mendahului lima mata di puncak peringkat kumpulan.

Atletico masih memburu kedudukan, berkongsi empat mata dengan Porto, yang bakal dihadapi mereka di Lisbon pada pusingan akhir.

Secara teorinya, tekanan ke atas Liverpool seharusnya semakin berkurangan, namun perlawanan ini sering menimbulkan kemarahan pengurus Jerman itu.

Reaksi Jurgen Klopp memberi arahan kepada pemainnya. Klopp mendedahkan dia tidak memahami corak permainan yang ditunjukkan Atletico Madrid menjelang pertemuan di Liga Juara-Juara pada Rabu. – AFP

Ini merupakan pertemuan keempat antara kedua-dua pihak dalam tempoh 18 bulan terakhir. Atletico meraih kemenangan dalam perlawanan peringkat kalah mati yang mendebarkan tahun lalu selepas menang 1-0 di gelanggang sendiri dan 3-2 selepas masa tambahan di gelanggang lawan.

Liverpool kemudian menang dengan jaringan yang sama di Madrid bulan lalu, memanfaatkan kad merah untuk Antoine Griezmann dan penalti, yang dijaringkan oleh Mohamed Salah.

Selama satu dekad yang lalu, Klopp telah menjadi salah satu watak yang paling menarik dan berkarisma.

Dia bukan seorang jurulatih yang mencari konfrontasi, sama ada secara sengaja atau terdesak, sebagai teknik untuk mendapatkan yang terbaik daripada pemain. Keluhannya di Atletico terasa tidak selaras dan tidak sesuai.

Terdapat beberapa kejadian, tetapi yang paling ketara adalah kekalahan di Anfield tahun lepas.

“Secara jujur, saya tidak faham dengan kualiti yang mereka ada, bahawa mereka bermain bola sepak seperti ini. Saya tidak faham itu,” beritahu Klopp kepada BT Sport. – AFP