Liverpool dikeluarkan dari senarai UNESCO

LONDON, 21 JULAI – Agensi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO hari ini mengundi untuk mengeluarkan kawasan dermaga Liverpool daripada senarai tapak warisan dunia, memetik kebimbangan mengenai pembangunan pesat termasuk rancangan membina sebuah stadium bola sepak baharu.

Dalam rundingan jawatankuasa yang dipengerusikan oleh China, 13 wakil mengundi menyokong cadangan dan lima membantah, hanya satu undi lebih daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk mengeluarkan tapak daripada senarai itu.

“Ini bermakna tapak Bandar Maritim Liverpool akan dikeluarkan daripada Senarai Warisan Dunia,” umum Tian Xuejun, pengerusi Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO.

Ia merupakan penyingkiran ketiga, selepas keputusan sebelumnya yang membabitkan Oman dan Jerman, dan menyusuli perbincangan jawatankuasa selama dua hari yang mendedahkan ketegangan mengenai cara-cara bandar di seluruh dunia boleh memelihara era lampau mereka sementara juga bertindak membangunkannya.

Datuk bandar Liverpool Steve Ritheram menggelarnya ‘langkah mundur’ yang diambil pegawai.

“Tempat-tempat seperti Liverpool tidak harus berdepan dengan dua pilihan di antara mengekalkan status warisan atau pun pembangunan komuniti yang ditinggalkan di belakang – serta pekerjaan dan peluang yang datang bersamanya,” kata beliau.

Kerajaan UK berkata ia berasa amat kecewa dengan keputusan tersebut.

Kerajaan percaya ‘Liverpool layak diberikan status warisan dunia memandangkan peranan besar yang telah dimainkan oleh dermaga dan bandar bersejarah itu,” kata jurucukap.

Namun wakil UNESCO yang telah mendengar pelan pembangunan semula termasuk pembinaan bangunan pencakar langit, akan ‘merosakkan’ warisan pelabuhan di barat laut England itu. – AFP

Gambar fail menunjukkan bot-bot ditambat berhampiran bangunan dermaga bersejarah Liver, Cunard, Pelabuhan Liverpool. – AFP