Liverpool kejar misi rampas kejuaraan EPL

LONDON, 13 OGOS – Liverpool akan ‘memberikan segalanya’ musim ini tetapi pengurus, Jurgen Klopp menjangkakan ia akan menjadi saingan sengit antara beberapa buah kelab ketika pasukannya dalam misi merampas semula gelaran Liga Perdana Inggeris yang
dirangkul oleh Manchester City musim lalu.

Sementara mengenai pembelian pemain baharu, tidak seperti kelab seteru yang lain, terpaksa dilakukan secara minimum. Dengan kehadiran pemain bawah 21 tahun Perancis, Ibrahima Konate yang diumumkan pada Mei dari kelab Bundesliga, RB Leipzig, Liverpool lebih menyasarkan untuk mengikat pemain utama sedia ada dengan kontrak baharu.

Penjaga gol, Alisson Becker, Trent Alexander Arnold, Fabinho dan terbaharu, Virgil van Dijk kesemuanya bersetuju dengan perjanjian baharu bersama Liverpool.

Klopp berkata mereka akan menjadi aset penting buat Liverpool memburu kejuaraan dan menemui semula rentak yang menyaksikan mereka dinobatkan sebagai juara pada 2020 buat kali pertama dalam masa tiga dekad.

“Tahun lalu, jurang yang begitu besar (City mempunyai kelebihan 12 mata ke atas pasukan di tempat kedua, Manchester United dan 17 mata dengan Liverpoo),” ujar Klopp semasa sidang media hari ini menjelang perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris di gelanggang lawan esok menentang pasukan yang baharu dipromosikan, Norwich.

Gambar fail aksi Divock Origi mengawal bola ketika menentang Everton. Jurgen Klopp memberitahu bahawa anak buah akan memberikan segalanya musim ini untuk merampas gelaran EPL.- AP

“Musim sebelumnya, jurang antara kami juga begitu besar (Liverpool berada di hadapan dengan jurang 18 mata kepada City).

“Saya tidak pasti jika ia akan menjadi lebih tegang buat pasukan lain.

“Kita akan saksikan. Chelsea tidak menyembunyikan cita-cita mereka, begitu juga Manchester United dan City.

“Kami pun tidak mahu menyembunyikan matlamat kami. Kami akan memberikan segalanya.”

Klopp, walau bagaimanapun, berkata saingan tidak hanya di antara empat pasukan teratas pada musim lalu yang menjadi calon kejuaraan.

“Saya sebutkan empat tetapi pasukan tetapi ia tidak akan menjadi saingan empat pasukan,” katanya.

“Leicester melakukan urus niaga yang baik sekali lagi. Arsenal sedang mencuba. Begitu juga Tottenham.”- AFP