‘Liverpool lawan Everton harus di Goodison Park’

LONDON, 8 JUN – Pertembungan berpotensi Liverpool memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila menentang Everton harus diadakan di Stadium Goodison Park, menurut datuk bandar Liverpool, Joe Anderson.

Perlawanan Derby Merseyside akan menjadi perlawanan pertama untuk pasukan Jurgen Klopp setelah EPL kembali semula berikutan penangguhannya akibat wabak COVID-19.

Sekiranya Manchester City di tempat kedua kalah di tangan Arsenal pada 17 Jun ini, maka pendahulu liga Liverpool boleh merangkul gelaran EPL pertama mereka dalam 30 tahun dengan kemenangan ke atas pesaing bandar mereka, Everton.

Pada masa ini permainan dijadualkan di Goodison pada 21 Jun, tetapi ada perbincangan dari ketua polis untuk memindahkan perlawanan itu ke tempat yang neutral untuk mengelakkan peminat berkumpul di luar dan melanggar peraturan penjarakan sosial.

Perlawanan itu tersenarai perlawanan berisiko tinggi yang disusun oleh ketua polis pada bulan lalu dan Anderson sebelumnya mengatakan bahawa bukan idea yang baik untuk memulakan semula musim ini kerana peminat tidak akan membuat penjarakan sosial.

Liverpool boleh merangkul gelaran EPL pertama mereka dalam masa 30 tahun dengan kemenangan ke atas Everton di Goodison Park. – Agensi

Namun Anderson telah berubah fikiran dan yakin perlawanan dapat diadakan dengan selamat di Goodison.

“Kami berada di tempat yang lebih baik daripada empat minggu yang lalu dan kami dapat menyampaikan mengapa sangat penting agar tiada siapa yang berkumpul di luar atau dekat kawasan stadium,” katanya.

“Kami sejak itu berkesempatan untuk berbicara dengan peminat dan kelab-kelab telah melakukan tugas mereka serta menyampaikan mesej bahawa penyokong perlu menjauhkan diri.

“Kedua-dua kelab telah memastikan ia jelas. Jurgen Klopp juga telah menjelaskannya.

“Jadi saya tidak keberatan dengan perlawanan yang dimainkan di halaman kelab sendiri, baik perlawanan derby di Goodison dan Liverpool di Anfield.”

Polis Merseyside tidak keberatan bermain di Stadium Goodison. Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Kumpulan Penasihat Keselamatan Majlis Bandaraya Liverpool.

Liverpool memiliki kelebihan 25 mata di puncak liga, menjadikan kemenangan gelaran semakin hampir tidak dapat dielakkan dengan baki sembilan perlawanan sahaja lagi. –AFP