LONDON, 17 APRIL – Liverpool mara ke final Piala FA apabila dua gol daripada Sadio Mane yang memberikan kemenangan 3-2 ke atas Manchester City yang terus memburu empat kejuaraan mereka dan menghancurkan harapan memperoleh treble untuk Manchester City.
Skuad kendalian Jurgen Klopp dalam misi ingin menyapu bersih kesemua empat kejohanan utama dalam satu musim, pencapaian yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini.
Mereka kekal di landasan betul untuk mencapai sasaran tersebut selepas memberikan persembahan cemerlang separuh masa pertama pada perlawanan separuh akhir kelmarin di Wembley.
Ibrahima Konte meletakkan Liverpool mendahului dan Mane menggandakan pendahuluan hasil kesilapan penjaga gol City, Zack Steffen.
Penyerang Senegal, Mane menjaringkan gol sekali lagi sebelum separuh masa dan walaupun Jack Grealish serta Bernardo Silva menjaringkan gol selepas separuh masa pertama, City tidak berjaya untuk kembali mengejar kedudukan tersebut.
Liverpool akan membuat penampilan final Piala FA pertama mereka sejak 2012 pada 14 Mei nanti apabila mereka menentang Chelsea atau Crystal Palace, yang bertemu pada separuh akhir hari ini. The Reds, mara ke final Piala FA buat kali ke-15, tidak memenangi pertandingan tersebut sejak 2006, manakala Klopp masih belum membawa mereka menjulang trofi bagi perlawanan kalah mati peringkat domestik.
Sebagai pasukan yang mengejar pendahulu liga dengan hanya satu mata dan baki tujuh perlawanan, Liverpool telah pun memenangi Piala Liga dan juga mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara, di mana mereka akan menentang Villarreal.
Di sebalik pengakuan Klopp bahawa mendapatkan empat kejuaraan adalah impian yang mustahil, ini adalah satu lagi langkah untuk mencipta sejarah.
Bagi City, yang keletihan secara fizikal dan mental, ia adalah satu perlawanan yang terlalu jauh kerana Liverpool memberikan kekalahan pertama kepada mereka dalam 11 perlawanan. – AFP