LIVERPOOL, 27 Dis – Penyerang Liverpool Philippe Coutinho menjadi perancang utama untuk The Reds selepas mempamerkan aksi yang mantap semalam selepas Liverpool membenam Swansea dengan jaringan 5-0 di Anfield.
Pemain antarabangsa Brazil itu telah memperolehi 12 gol pada musim selepas melakukan tendangan lencong dan membantu rakan senegarannya Roberto Firmino mencipta gol.
Phillipe Coutinho, Roberto Firmino, Alexander-Arnold dan Alex Oxlade-Chamberlain masing-masing meledak gol dalam aksi berat sebelah itu dengan Firmino mencetak dua gol yang dikuasai tuan rumah awal perlawanan.
Kemenangan ini membolehkan Liverpool terus bersaing hebat dalam perebutan slot ke Liga Juara-Juara dengan menduduki tangga keempat liga, lima mata di belakang Manchester United di tempat kedua.
Bagaimanapun, di sebalik kemenangan besar itu Klopp mengakui tidak gembira dengan aksi pemainnya apabila beraksi secara individu berbanding falsafah bola sepaknya yang menekankan permainan secara berpasukan. Aksi ‘tamak’ dan individu pemain Liverpool tidak disenangi oleh pengurus pasukan.
“Ia langsung tidak menarik perhatian saya. Jika mereka beraksi secara berpasukan, saya percaya kami mampu menghasilkan lebih banyak gol lagi hari ini.
“Saya tidak ada masalah dengan keputusan 5-0 ini, tetapi agak mengecewakan apabila pemain bertindak sendirian untuk mencipta gerakan dan gol,” katanya.
Pada aksi itu, bekas pengurus Borussia Dortmund itu melakukan empat pertukaran berbanding kesebelasan utama ketika seri 3-3 menentang Arsenal.
Anak buah Klopp memulakan pesta jaringan menerusi rembatan menarik Coutinho dari luar kotak penalti seawal minit keenam.
Swansea yang sekarang ini bergelut di zon penyingkiran terus ketinggalan sebaik separuh masa kedua bersambung dengan Firmino meledak gol menerusi sepakan voli cantik di minit ke-52 sebelum Alexander-Arnold menambah gol ketiga di minit ke-65.
Seminit kemudian, Firmino menolak masuk bola hantaran Salah dalam kotak penalti dan Oxlade-Chamberlain melengkapkan kemenangan bergaya skuad The Reds selepas memanfaatkan kelekaan pertahanan Swansea sebelum merembat bola menerjah ke gawang minit ke-82.
“Anda boleh lihat betapa gembiranya penyokong kami di atas kemenangan besar ini. Saya hargai apa yang sudah dilakukan pemain dan saya yakin kami akan bertambah baik dalam aksi berikutnya,” katanya.
Klopp turut mendedahkan bahawa khidmat ketua pasukan, Jordan Henderson dan pertahanan kiri, Alberto Moreno terpaksa diketepikan bagi dua aksi menentang Leicester City dan Burnley selepas kedua-duanya disahkan mengalami kecederaan. – AFP