Liverpool sambar pemain remaja Scotland

LIVERPOOL, 19 JUN – Liverpool hari ini telah menandatangani pemain pertahanan Scotland bawah 21 tahun, Calvin Ramsay dari Aberdeen sebagai pemain gantian untuk Trent Alexander-Arnold di posisi bek kanan.

Pemain remaja berusia 18 tahun, yang belum pernah beraksi untuk skuad utama Scotland, menyertai The Reds dengan yuran perpindahan dilaporkan sebanyak 4.2 juta pound.

Dia hanya membuat penampilan untuk pasukan senior Aberdeen pada Mac tahun lalu dan beraksi 39 kali di liga teratas Scotland, membuat sembilan assist dan menjaringkan satu gol.

Joe Gomez sebelum ini menjadi pemain sandaran kepada Trent Alexander-Arnold selama beberapa tahun kebelakangan meskipun posisi asalnya adalah di bahagian tengah pertahanan. Gomez kini dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Anfield.

“Ia adalah mimpi menjadi kenyataan bermain untuk Aberdeen, dan kini saya berada di salah sebuah kelab terbesar di dunia, ia adalah pencapaian besar dan saya tidak sabar untuk menunjukkan kepada peminat kebolehan saya,” kata Ramsay.

“Saya berharap dapat bermain semasa pra musim, menunjukkan kepada semua yang berada di kelab, kakitangan, pemain apa yang saya mampu lakukan dan selebihnya kita akan lihat apa yang bakal berlaku.”

Ramsay adalah pembelian ketiga Liverpool musim ini selepas menandatangani penyerang Uruguay, Darwin Nunez dan pemain remaja berusia 19 tahun, Fabio Carvalho. – AP