NEWCASTLE, 2 Okt – Satu jaringan menakjubkan Philippe Coutinho memastikan Liverpool seri 1-1 di Newcastle, tetapi ia adalah satu lagi perlawanan yang mengecewakan pengurus mereka, Jurgen Klopp.
Di hari di mana kemenangan boleh melonjakkan mereka di atas juara Chelsea dan memasuki kedudukan empat teratas Liga Perdana, Liverpool bergelut sekali lagi untuk menterjemahkan dominasi mereka menjadi gol.
Skuad kendalian Klopp menikamati lebih banyak penguasaan bola berbanding Newcastle, tetapi mensia-siakan beberapa peluang dan terpaksa bergantung pada gol Coutinho bagi satu mata di St James’ Park.
Sebagai perbandingan, Newcastle, yang dikendalikan oleh bekas pengurus Reds, Rafael Benitez, menikmati rekod 100 peratus apabila mereka mencipta satu peluang terbuka dan memanfaatkannya, meskipun Joselu memerlukan nasib yang sangat baik untuk meraih gol penyamaan sebelum rehat.

Liverpool mungkin tidak perlu banyak merungut kerana kerja keras Newcastle selayaknya mendapat habuan dan mereka telah membuat beberapa ancaman awal ke atas pertahanan yang sudah membolosi 10 gol dalam tiga perlawanan di laman luar kebelakangan ini.
Bekas pemain tengah Liverpool, Jonjo Shelvey, dikembalikan dalam kesebelasan utama selepas digantung perlawanan, menyesuaikan diri dengan pantas dan berperanan dalam dua percubaan bahaya dalam lima minit pertama, satu dihadang dan satu lagi diselamatkan Simon Mignolet.
Penjaga gol Liverpool itu juga menangani percubaan daripada Matt Ritchie sebelum Reds akhirnya mengawal bahagian tengah dan mencipta beberapa peluang, bermula dengan hantaran lintang Mohamed Salah yang cuba disudahi oleh Joe Gomez, namun tersasar. – AFP