LIVERPOOL, 5 JAN – Perlawanan separuh akhir Piala Liga pusingan pertama antara Liverpool bertemu Arsenal, yang dijadualkan berlangsung Khamis, telah ditunda ekoran penularan COVID-19, pasukan Liverpool mengumumkan perkara tersebut menerusi laman web.
Liverpool terpaksa menutup pusat latihan mereka hari ini dan pengurus pasukan, Jurgen Klopp dan pembantu pengurus, Pepijn Lijnders serta beberapa pemain turut menjalani pengasingan disebabkan positif dijangkiti COVID-19.
Klopp berserta tiga pemain lain – Alisson Becker, Joel Matip dan Roberto Firmino – sudah menjalani pengasingan sebelum gelombang jangkitan terkini.
“Permohonan kelab untuk meminta jadual perlawanan ditukar telah diluluskan oleh EFL disebabkan peningkatan jumlah yang disyaki positif COVID-19 di kalangan pemain dan kakitangan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab.
“Siri ujian terkini kelmarin mendapati hasilnya menunjukkan beberapa kes positif, termasuk Pepijn Lijnders, yang sepatutnya mengendalikan pasukan semasa kunjungan ke Stadium Emirates,” tambah kenyataan.
“Penularan itu menyebabkan Liverpool tidak mempunyai jumlah pemain dan kakitangan yang mencukupi untuk turun beraksi seperti yang dijadualkan.
Saingan dua pusingan itu sebaliknya akan menyaksikan Liverpool menjadi tuan rumah bagi pusingan pertama.
“Pusingan pertama kini akan berlangsung di Anfield pada Khamis, 13 Januari pukul 7:45pm. Pusingan kedua akan diadakan di Stadium Emirates pada 20 Januari jam 7:45pm.
Liverpool turut mempunyai isu kecederaan dan pemain yang dipanggil untuk beraksi di AFCON. – AFP