Liverpool terlalu kuat buat Norwich

NORWICH, 15 OGOS – Virgil van Dijk kembali beraksi setelah mengalami kecederaan ketika Liverpool selesa menundukkan Norwich 3-0 dalam perlawanan pembukaan musim Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Diogo Jota, Roberto Firmino dan Mohamed Salah masing-masing menempa nama selaku penjaring buat pasukan Jurgen Klopp ketika mereka memulakan kempen dengan langkah kanan untuk kembali merebut gelaran Liga Perdana Inggeris daripada Manchester City.

Kecederaan serius di bahagian lutut dialami Van Dijk telah menjejaskan usaha Liverpool untuk mengekalkan kejuaraan musim lalu dan pemain Belanda itu dilihat kembali beraksi seperti dahulu dan bermain 90 minit penuh semasa kepulangannya di atas padang.

Norwich kembali dipromosikan ke liga utama selepas cemerlang di Liga Kejuaraan musim lalu, tetapi mereka segera diperingatkan bahawa mereka perlu berusaha untuk bersaing di Liga Perdana Inggeris.

Penyerang Norwich, Teemu, nyaris mencipta kejutan melalui sepakan kencang namun berjaya diselamatkan oleh Alisson Becker, peluang terbaik ketika perlawanan baru berlangsung.

Reaksi Mohamed Salah meraikan gol dalam perlawanan pembukaan Liverpool pada musim ini menentang Norwich, kelmarin. – AP

Tetapi Liverpool berjaya membuka jaringan menerusi Jota pada minit ke-26.

Salah menyambut hantaran lintang Trent Alexander-Arnold dan menghantar bola kepada bintang Portugal lalui merembat bola melepasi penjaga gol, Tim Krul.

Fabinho dan Roberto Firmino dimasukkan pada separuh masa kedua dan Firmino memerlukan lima minit untuk meledak gol selepas menerima hantaran daripada Salah.

Salah kemudian menjaringkan gol pembukaan liga buat Liverpool bagi lima musim berturut-turut.

Bola hasil sepakan sudut menuju ke arah pemain Mesir 16 minit sebelum perlawanan berakhir dan Salah kemudian membuat percubaan kencang menewaskan Krul.

Liverpool memerlukan aksi menyelamat luar biasa daripada Alisson dari dibolosi selepas berjaya menyelamatkan bola daripada percubaan Ben Gibson di hadapan pintu gol. – AFP