LIVERPOOL, 10 Mac – Roberto Firmino mengembalikan rentak jaringannya tepat pada masanya selepas menjaringkan dua gol yang menyaksikan Liverpool menewaskan Burnley 4-2 sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Manchester City dengan hanya satu mata.
Sadio Mane turut tersenarai dalam senarai penjaring selepas Liverpool terpaksa bangkit daripada ketinggalan pada awal perlawanan.
Firmino memainkan peranan yang penting untuk menghilangkan gemuruh Liverpool dengan mengumpul 11 gol dan menamatkan kemarau gol dalam enam perlawanan.
Pada minit ke-6, Ashley Westwood menjaringkan gol menerusi sepakan sudut dan penjaga gol Liverpool berang kerana dia diganggu ketika cuba untuk menepis bola tersebut.
Liverpool ketinggalan selama 13 minit sebelum gol penyamaan menerusi pergerakan yang dicetuskan oleh Mohamed Salah dan Georginio Wijnaldum.
Penjaga gol Burnley, Tom Heaton dan Tarkowski masing-masing mempunyai peluang untuk mengeluarkan bola namun gagal sekali gus memberi peluang kepada Firmino untuk menerjah gawang.
Liverpool kelihatan menguasai perlawanan dan memberi tekanan kepada barisan pertahanan Burnley sebelum Mane membantu Liverpool mendahului perlawanan sebelum rehat separuh masa pertama.
Firmino sekali lagi meledak gol pada minit ke-67 menerusi cubaan 12 ela dengan gawang yang tidak dijaga.
Pada saat-saat akhir, perlawanan semakin menarik apabila Johann Berg Gudmundsson menjadikan kedudukan 3-2 namun Liverpool terus mendominasi pada minit ke-93 apabila Mane menerima hantaran jauh, mengelecek Heaton dan menjaringkan gol keempat buat Liverpool. – AFP

































