LIVERPOOL, 27 Mei – Bandar Liverpool dalam keadaan berduka selepas impian kemenangan Liga Juara-juara hancur berkecai setelah kesilapan besar penjaga gawang Liverpool Loris Karius membawa kemenangan kepada Real Madrid, 3-1 hari ini.
Apabila wisel penamat ditiup di Kiev, salah seorang daripada 30,000 peminat yang berhimpun bagi menyaksikan perlawanan final Liga Juara-juara secara langsung, bertindak melepaskan belon berbentuk piala kejohanan elit Eropah itu di Stadium Anfield, Liverpool.
Pelepasan belon itu melambangkan pengakhiran bagi bidaan Liverpool untuk menjuarai Piala Eropah buat kali keenam tatkala seorang peminat skuad itu Dave Birkett melambainya sebagai tanda selamat tinggal.
“Kecewa, benar-benar kecewa. Ia satu perlawanan yang mengejutkan,” katanya kepada AFP.
Para penonton mula bergerak meninggalkan stadium sebelum wisel penamat dibunyikan, manakala bedil bagi meraikan kemenangan skuad itu yang telah disediakan oleh kakitangan Anfield tidak digunakan.
Tatkala Real menguasai podium untuk meraikan kejayaan Liga Juara-juara, peminat turut menyaksikan bintang Liverpool, Mohamed Salah meninggalkan gelanggang dalam keadaan menangis pada minit ke-31 selepas disyaki mengalami kecederaan pada bahu.
Orang ramai yang berhimpun di Anfield semakin berkurangan pada separuh masa kedua selepas ketiadaan Salah dan dalam keadaan tidak percaya selepas lontaran lemah Karius yang memberi peluang bagi jaringan gol pembukaan buat Real.
Pada minit ke-55, Sadio Mane telah memberi harapan kepada Skuad Klopp selepas menjaringkan satu gol dan mendorong nyanyian bersama yang berbunyi ‘Allez, allez, allez’ di sekitar stadium.
Ia merupakan nyanyian yang digemari oleh peminat pada musim ini yang berbunyi ‘We’ve conquered all of Europe, We’re never going to stop.’ –AFP