Friday, December 6, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Liverpool ungguli Liga Perdana Inggeris

    LIVERPOOL, 3 NOV – Liverpool bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Brighton 2-1 sekali gus mengungguli Liga Perdana Inggeris hasil jaringan menakjubkan Mohamed Salah di Anfield kelmarin.

    The Reds ketinggalan pada separuh masa pertama selepas jaringan cantik Ferdi Kadioglu.
    Tetapi dua gol pantas daripada Cody Gakpo dan Salah menghukum Brighton kerana tidak memanfaatkan kelebihan mereka pada separuh masa pertama.

    Kemenangan ke-13 dalam 15 perlawanan untuk Arne Slot membawa Liverpool dua mata di depan Manchester City, yang tewas 2-1 di Bournemouth.

    Kedua-dua pasukan menampilkan barisan pemain yang banyak berubah berbanding perlawanan Piala Liga pada Rabu, yang mana Liverpool menang tipis 3-2.

    Walaupun The Reds menyambut kembali ramai bintang termasuk Salah, Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold, Seagulls mendominasi permainan pada separuh masa pertama dan berada di depan sebelum waktu rehat.

    Satu-satunya peluang jelas Liverpool dalam 45 minit pertama muncul apabila Darwin Nunez membuat larian dari dalam kawasan sendiri ke dalam kotak penalti Brighton dan melepaskan rembatan yang berjaya ditepis oleh Bart Verbruggen.

    Kadioglu pula membuka jaringan pada minit ke-14 dengan rembatan kaki kanan di bahagian dalam tiang.

    Liverpool sekali lagi beraksi tanpa penjaga gol utama, Alisson Becker kerana kecederaan tetapi pemain penggantinya, Caoimhin Kelleher berjaya melakukan penyelamatan penting untuk menghalang Brighton daripada menggandakan kelebihan mereka.

    Hantaran halus Jack Hinshelwood memecah pertahanan Liverpool yang membolehkan Georginio Rutter melepasi Virgil van Dijk, tetapi pemain Perancis itu gagal mengatasi Kelleher.

    Kadioglu juga melepaskan peluang besar untuk menjadikan kedudukan 2-0 apabila rembatannya tersasar, sementara sepakan percuma Danny Welbeck hanya terkena bahagian jaring luar gol. – AFP

    Reaksi Gakpo selepas menjaringkan gol semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris di stadium Anfield di Liverpool, England pada 2 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda