Liverpool, United seri tanpa jaringan

LONDON, 18 JAN – Manchester United kekal menduduki tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas penjaga gawang Liverpool, Alisson Becker menyelamatkan beberapa serangan United yang berakhir dengan keputusan seri 0-0 di Anfield semalam, sementara Manchester City menduduki tempat kedua selepas meraih kemenangan 4-0 menentang Crystal Palace.

Skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer dilihat mempunyai peluang lebih baik untuk menjaringkan gol pada perlawanan musuh tradisi antara dua kelab gergasi England itu.

Alisson menafikan cubaan Bruno Fernandes dan Paul Pogba pada separuh masa kedua sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri tanpa jaringan.

United kini memiliki dua mata mengatasi Manchester City yang berada di di tempat kedua tetapi Citizens masih mempunyai baki satu perlawanan selepas menewaskan Crystal Palace 4-0 semalam.

Leicester hanya dua mata di belakang United di tempat ketiga manakala Liverpool selaku juara bertahan jatuh ke tangga keempat.

Aksi Bruno Fernandes dari Manchester United ketika merebut bola dengan Mohamed Salah semasa perlawanan EPL antara Liverpool dan Manchester United di Stadium Anfield, semalm. – AP

United berada di kedudukan teratas selepas Tahun Baharu buat pertama kalinya sejak Alex Ferguson bersara pada tahun 2013 selapas sembilan kemenangan dalam 12 perlawanan tanpa kalah.

United mengejar gelaran pertama dalam lapan tahun, tetapi United mungkin merasa itu adalah peluang yang terlepas untuk memberi tekanan kepada Liverpool.

“Ia akan menjadi lebih baik jika kami memenangi perlawanan seterusnya. Kami terlepas beberapa peluang tetapi barisan pemain sudah mempamerkan aksi terbaik.

“Saya rasa kami menunjukkan kematangan ketika perlawanan ini dan ada peluang untuk mencatatkan kemenangan. Kami memperoleh dua peluang terbaik dan ia diselamatkan oleh penjaga gol lawan,” kata Solskjaer.

Ini adalah kali pertama kedua-dua musuh lama ini terlibat dalam persaingan gelaran sejak 2009.

Liverpool di bawah bimbingan Jurgen Klopp kini mengharungi empat perlawanan tanpa melakar kemenangan.

“Sukar untuk memberikan penjelasan. Kami sentiasa melepaskan peluang, termasuklah ketika memenangi perlawanan.

“Kami perlu mempamer aksi lebih baik untuk meraih mata. Saya rasa kami berpeluang meraih tiga mata penuh tetapi kami gagal menjaringkan gol,” katanya. – AFP