LiveWIRE serah zakat lebih $7,000

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – LiveWIRE Brunei telah menyerahkan wang zakat berjumlah $7,150.82 kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat LiveWIRE, Gadong pada 5 Mei lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh LiveWIRE Brunei, di sini, pembayaran wang zakat berkenaan adalah bagi kejayaan penuaian padi projek AgroBIZ di mana dalam kitaran kedua penuaian, projek berkenaan telah berjaya menghasilkan hampir 27 tan iaitu satu peningkatan daripada jumlah sebelumnya.

Kenyataan turut menyatakan bahawa majlis berkenaan juga diadakan bersempena dengan ulang tahun Shell LiveWIRE Brunei ke-20 di mana hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Shell LiveWIRE Brunei dan Pengurus Nilai Dalam Negara Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Hajah Rosita binti Haji Hassan; Pengarah Program Shell LiveWIRE Brunei, Haji Abdul Yusrin bin DSLJ Haji Salleh dan ahli-ahli Jawatankuasa Pandu AgroBIZ.

Pada majlis berkenaan, zakat diserahkan kepada Pemangku Setiausaha MUIB, Negara Brunei Darussalam, Haji Hamzah bin Haji Sabtu.

Turut hadir menyaksikan acara berkenaan ialah Pemangku Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan), Awang Norjemee bin Jenek dan Pemangku Pengetua Kampus Satelit Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr Suhaimi bin Haji Abdul Wahab.

Projek AgroBiz merupakan sebuah kolaborasi antara LiveWIRE Brunei dan IBTE di mana projek berkenaan menyediakan peluang kepada usahawan pertanian (Agroprenuers) untuk terus membangunkan serta mengekalkan perusahaan mereka.

Peserta-peserta AgroBIZ menjalankan kursus selama setahun di IBTE dan mereka menerima bimbingan serta peluang rangkaian daripada LiveWIRE Brunei.

Mereka juga akan belajar daripada pakar-pakar dalam pelbagai topik termasuk keusahawanan dan pengurusan ladang komersial.

Haji Hamzah menerima zakat daripada LiveWIRE Brunei bagi pihak MUIB.