Thursday, October 5, 2023
23.2 C
Brunei

    -

    LKEB, DARe sertai CAEXPO ke-20

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Dengan komitmen berterusan untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan mempamerkan kecemerlangan Brunei di pentas global, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan Darussalam Enterprise (DARe) mengambil bahagian dalam Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20 di Nanning International Convention & Exhibition Centre (NICEC), Republik Rakyat China.

    Ekspo berkenaan merupakan sebuah acara antarabangsa yang bertujuan untuk mempromosikan Kawasan Bebas Perdagangan ASEAN-China (ACFTA) dengan membawa tema Building a harmonious homeland, a common destiny to the future promoting high quality development of BRI and building an economic growth centre.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh DARe, di sini, penyertaan LKEB dan DARe itu selaras dengan Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi (BGEC), di mana ia membuat peluang-peluang menarik bagi kolaborasi antara Brunei dan Guangxi.

    Peluang-peluang itu merentas pelbagai sektor termasuk lima sektor keutamaan yang dikenal pasti dalam Pelan Induk Ekonomi Brunei Darussalam serta sektor dan peluang-peluang baharu muncul seperti ekonomi digital, tenaga bersih dam pelancongan kebudayaan.

    Inisiatif BGEC mencerminkan komitmen kedua-dua wilayah untuk mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan ekonomi.

    Yang Berhormat Menteri Pembangunan bergambar ramai di petak pameran Brunei Darussalam semasa CAEXPO ke-20. – Gambar serahan DARe

    CAEXPO yang berlangsung dari 16 hingga 19 September di NICEC itu memberikan peluang kepada perniagaan dan pengguna untuk mendapatkan pelbagai jenis produk daripada makanan dan minuman, produk berasaskan pertanian, komoditi bagi perdagangan antarabangsa serta perkhidmatan dan barangan pengguna.

    CAEXPO ke-20 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Li Qiang, hari ini. Hadir semasa majlis perasmian itu ialah Menteri Pembangunan, Yang Ber-hormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

    Terdahulu sebelum perasmian, Yang Berhormat Dato telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan Pengerusi Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Tuan Yang Terutama Lan Tianli di mana kedua-dua belah pihak berpeluang untuk membincangkan perkembangan pelaburan perdagangan dan ekonomi, kerjasama perindustrian serta pertukaran warga antara Brunei dan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang khususnya dengan Memorandum Persefahaman Koridor Ekonomi Brunei-Guangxi ke-3 yang ditandatangani pada Februari 2023 serta Koridor Perdagangan Laut-Darat Antarabangsa yang baharu.

    Di ekspo itu, petak LKEB mempromosikan Brunei sebagai sebuah destinasi pelaburan berprospek bagi pelaburan langsung asing (FDI) dan mengetengahkan peluang serta proses dalam Persijilan Halal.

    Petak DARe menumpukan kepada mempromosikan tapak perindustriannya serta mengetengahkan produk-produk buatan Brunei, menekankan kualiti produk Brunei yang berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa.

    Syarikat-syarikat Brunei yang menyertai ekspo berkenaan ialah Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd, Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Ray International Sdn Bhd, IBIC Sdn Bhd dan GallopAir Sdn Bhd.

    Di samping itu, produk-produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Brunei yang diketengahkan adalah Tapih Rancung, Neat Formula, Taurean Bakeshop, KS Food, Asnika Gallery, The Triffin Mood, Al Hayaah, Bellary Nature, M2Victoria, Oudh Berjaya, Amal Hadizat, Syanish Enterprise, VHC Company dan Buddies Trading Company.

    Selain daripada ekspo berkenaan, LKEB dan DARe juga secara aktif mengambil bahagian dalam acara Mesyuarat Meja Bulat CAEXPO bagi Kerjasama Pelaburan di mana ia menyediakan platform bagi meneroka peluang-peluang pelaburan dan mengukuhkan kerjasama antara Brunei dan negara-negara ASEAN yang mengambil bahagian.

    LKEB dan DARe juga mengambil bahagian dalam Persidangan Promosi CAEXPO bagi Perjumpaan Pemadanan Projek dan Taman Perindustrian di mana persidangan itu merupakan peluang penting untuk mengetengahkan potensi Brunei bagi pertumbuhan industri dan mempromosikan kolaborasi dalam pelbagai projek-projek perindustrian di dalam rantau ASEAN.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Pakistan arah warga Afghanistan tinggalkan negara

    ISLAMABAD, 4 OKT - Ratusan ribu rakyat Afghanistan yang tinggal secara haram di Pakistan telah diberi masa sehingga 1 November untuk meninggalkan negara itu...