Locatelli, Immobile pacu Itali ke kelompok 16 terakhir

ROM, 17 JUN – Manuel Locatelli menjaringkan dua gol dan Ciro Immobile menambah gol ketiga ketika Itali menempa kedudukan di Euro 2020 dalam kelompok 16 terakhir kelmarin dengan berbaki satu perlawanan selepas membenam Switzerland 3-0 di Rom.

Pemain tengah Sassuolo, Locatelli meletakkan The Azzuri di hadapan seawal minit ke-26 dalam pertemuan Kumpulan A, dan menambah gol kedua selepas waktu rehat manakala Immobile menjaringkan gol terakhir pada lewat perlawanan.

Pasukan kendalian Roberto Mancini kini berada di kedudukan teratas dengan mengutip enam mata daripada dua perlawanan, menjaringkan enam gol dan tanpa bolos, dua mata di hadapan Wales yang menewaskan Turki 2-0 pada perlawanan terdahulu.

“Kesemua perlawanan adalah sukar, ada perlawanan yang lebih ringkas tetapi mereka sentiasa turun bermain dan memenangi perlawanan,” kata Mancini.

“Switzerland adalah pasukan yang kuat. Perlawanan yang sangat sukar. Kami mampu menjaringkan gol lebih awal, tetapi pada penghujung perlawanan ia adalah kemenangan yang layak diraih.”

Reaksi Manuel Locatelli selepas menjaringkan gol pembukaan menentang Switzerland di Rom, baru-baru ini. – AP

Itali akan mara sebagai pemenang Kumpulan A jika mereka dapat mengelak kekalahan menentang pasukan yang membuat kejutan di Euro 2016, Wales di Stadio Olimpico, pada Ahad.

“Sehingga sekarang pemain bermain dengan baik tetapi perjalanan masih jauh,” tambah Mancini.

“Masih ada pasukan kebangsaan yang menanti kami dan masih meningkat, tetapi dalam bola sepak segala-galanya boleh terjadi.”

Switzerland terpaksa mengalahkan Turki di Baku pada hujung minggu ini bagi peluang untuk mara ke pusingan kalah mati.

“Semua orang layak untuk merasa kecewa malam ini, tetapi esok dari sesi latihan pertama kami terpaksa memandang ke hadapan,” kata jurulatih Switzerland, Vladimir Petkovic. – AFP