Lockdown musnahkan pekerjaan di Brazil – Bolsonaro

BRASILIA, 4 MEI – Presiden Brazil Jair Bolsonaro menyelar lockdown negara semalam dalam satu ucapan kepada ribuan penunjuk perasaan antiperintah berkurung tatkala jumlah jangkitan COVID-19 melepasi 100,000, dengan lebih 7,000 kematian direkodkan.

Bolsonaro menyalahkan gabenor negeri kerana meneruskan lockdown dalam ucapan di luar istana presiden di Brasilia.

“Pemusnahan pekerjaan oleh beberapa gabenor adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima. Kami akan menanggung akibat teruk pada masa depan,” kata pemimpin negara dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Bolsonaro berkali-kali telah bertekak dengan gabenor negeri, menegaskan perintah berkurung ketat yang dikenakan adalah reaksi melampau, dan memusnahkan ekonomi negara.

Negara itu mencatat 101,147 kes virus semalam, menurut angka yang dikeluarkan oleh kementerian kesihatan Brazil, dengan 275 kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu.

Tunjuk perasaan di Brasilia menarik lebih ramai orang berbanding bantahan yang sama dalam beberapa minggu ini, dan ramai orang memegang sepanduk mengkritik Rodrigo Maia, ketua dewan parlimen, dan bekas menteri keadilan Sergio Moro yang meletak jawatan pada minggu lalu. Yang lainnya meminta tentera supaya campur tangan.

“Rakyat adalah bersama kami dan tentera di pihak undang-undang, ketenteraman, kebebasan dan demokrasi,” beritahu Bolsonaro kepada penyokong. – AFP

Seorang penyokong Presiden Brazil Jair Bolsonaro mengibarkan bendera kebangsaan ketika mengambil bahagian dalam demonstrasi di Brasilia pada 3 Mei. – AFP