Loew percaya pemain muda

BERLIN, 14 Jun – Juara bertahan Piala Dunia, Jerman melalui peringkat kelayakan yang menakjubkan dan mencatat rekod 43 gol peringkat Eropah.

Pasukan Jerman berdepan laluan sukar di mana baru-baru ini mencatat keputusan seri menentang England, Perancis dan Sepanyol. Pasukan kendalian Joachim Loew tewas 1-0 kepada Brazil sekali gus mengakhiri rekod tanpa kalah 22 perlawanan dan tewas kepada Austria. Pasukan Jerman tidak mencatat kemenangan tahun ini sehingga kemenangan minggu lepas ke atas Arab Saudi di Leverkusen dengan keputusan 2-1.

Kini dalam cubaan untuk menjadi pasukan pertama sejak Brazil pada 1962 untuk mempertahankan gelaran Piala Dunia agak sedikit sukar buat Jerman.

“Kami tidak sebagus seperti sebelum ini atau seperti sesetengah orang memikirkan mengenai kami,” menurut pemain tengah, Toni Kroos. “Masih banyak ruang untuk ditingkatkan.”

Aksi yang menurun akhir-akhir ini dalam perlawanan persahabatan mungkin akan mematahkan semangat pasukan Jerman menuju Piala Dunia, yang memerlukan untuk menghuni tangga teratas Kumpulan F bagi mengelakkan pertembungan pusingan kedua menentang Brazil.

Kroos akan menjadi nadi utama di bahagian tengah pasukan Jerman. – AP

Jurulatih

Loew menjadi penolong jurulatih kepada Jurgen Klinsmann semasa menghoskan Piala Dunia 2006 sekali gus dilantik menjadi pengurus selepas mengakhiri kempen menghuni tempat ketiga. Kegemarannya adalah pengawalan bola yang cepat, memberi tekanan kepada pasukan lawan untuk mendapatkan bola dan mengubah secara cepat daripada bertahan kepada menyerang.

Loew membawa Jerman ke peringkat akhir Kejuaraan Eropah 2008, berada di tempat ketiga semasa Piala Dunia 2010 dan membantu ke peringkat separuh akhir di Euro 2012 sebelum merangkul kejuaraan Piala Dunia 2014 di Brazil.

Selepas melalui kempen yang kurang memberangsangkan kerana tersingkir di peringkat separuh akhir kepada Perancis semasa Euro 2016 tetapi Loew berusaha keras untuk mempertahankan gelaran Piala Dunia dengan menjuarai Piala Konfederasi tahun lepas di Rusia dengan membarisi pasukan muda dengan kebolehan yang memberangsangkan.

Loew tidak takut untuk menguji pemain muda dan membentuk pasukan Jerman yang kuat dan ia merupakan tugas yang sukar sepertimana para pemain yang tersenarai dalam skuad 23 pemain.

Leroy Sane, pemain muda terbaik di Liga Perdana, terpaksa akur tidak tersenarai dalam skuad ke Rusia. Sementara Mario Gotze, yang menjaringkan gol kemenangan pada 2014, juga tidak tersenarai dalam senarai awal skuad.

Loew menjadi sensasi di internet kerana jurulatih berusia 58 tahun itu dirakam mengorek hidung dan beberapa perbuatan lain semasa perlawanan berlangsung.

Penjaga gol

Ketua pasukan Manuel Neuer telah membuktikan kecergasan tepat pada masanya. Penjaga gol Bayern Munich itu terlepas banyak perlawanan musim lepas kerana mengalami keretakan kaki kirinya, tetapi dia beraksi sepenuh masa semasa perlawanan menentang Austria tempoh hari.

“Saya rasa bagus sekali,” kata Neuer yang tidak bimbang mengenai kecederaan buat kali ketiga. “Risiko ini sama seperti pemain-pemain lain.”

Marc-Andre ter Stegen merupakan penjaga gol kedua selepas mempamerkan aksi memberangsangkan bersama Barcelona.

Kevin Trapp dari Paris Saint-Germain terpilih sebagai penjaga gol ketiga Jerman.

Barisan pertahanan

Pemain pertahanan Bayern, Jerome Boateng nampaknya telah pulih daripada kecederaan paha yang dialaminya pada April lalu semasa perlawanan separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid. Rakan sepasukannya Niklas Suele juga bergandingan dengan Mats Hummels di bahagian tengah. Sementara Joshua Kimmich juga pemain Bayern mengisi kekosongan yang ditinggalkan Philipp Lahm di bahagian tepi. Jonas Hector juga mengekalkan tempatnya di bahagian kiri.

Barisan tengah

Toni Kroos akan menjadi nama pertama dalam kesebelasan utama. Pemain tengah Real Madrid akan menjadi nadi utama pasukan itu. Dia akan bergandingan dengan pemain Juventus, Sami Khedira yang memberikan peranan sebagai pemain pertahanan sementara Mesut Ozil di bahagian depan dan Thomas Mueller dan Marco Reus di bahagian sayap.

Pasukan Jerman mempunyai kelebihan di bahagian tengah seperti Ilkay Gundogan, Leon Goretzka, Julian Draxler dan Julian Brandt akan memberikan pilihan kepada Loew.

Barisan penyerang

Timo Werner nampaknya akan mengekalkan tempatnya di kesebelasan utama selepas melalui musim yang mantap bersama Leipzig walaupun sebahagian besar golnya dijaringkan semasa separuh musim berlangsung. Penyerang berusia 22 tahun itu mengumpul tujuh gol dalam 12 penampilan antarabangsa, keupayaannya dalam mencari ruang dan memberikan masalah kepada barisan pertahanan telah menjadi kebaikan kepada pasukan.

Loew juga mempunyai pilihan lain yang berpengalaman iaitu Mario Gomez. Pemain Stuttgart berusia 32 tahun itu pernah beraksi di pertandingan besar sebelum ini seperti Piala Dunia 2010 dan tiga Kejuaraan Eropah dan berharap akan menambah lagi gol yang kini terkumpul sebanyak 31 gol. Loew juga mempunyai pilihan lain di bahagian depan seperti Mueller atau Reus.

Kumpulan F

Jerman akan memulakan kempen Piala Dunia menentang Mexico di Stadium Luzhniki pada 17 Jun. Kemudian pasukan Jerman akan berkunjung ke selatan Sochi untuk perlawanan kedua menentang Sweden pada 23 Jun sebelum mengakhiri perlawanan peringkat kumpulan menentang Korea Selatan di Kazan empat hari kemudian. – AP