Logo halal lenyapkan keraguan pengguna

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Ogos – Rakyat Brunei yang beragama Islam masih menitikberatkan soal isu makanan halal di mana mereka mengambil kira dan menitikberatkan beberapa aspek penting dalam menilai kehalalan sesuatu produk makanan itu.

Di samping itu, logo halal merupakan salah satu perkara yang dianggap penting di mana ia boleh mempengaruhi pengguna dan logo halal yang tidak dikenali serta diragui memberi kesan kepada keyakinan pengguna.

Perkara itu antara kesimpulan yang dibuat hasil daripada kajian yang dilaksanakan mengenai Persepsi Halal Dalam Kalangan Pengguna di Negara Brunei Darussalam yang dibentangkan bersama oleh Pengiran Dr Hajah Siti Norainna binti Pengiran Haji Besar dan Dayang Noralipah binti Mohammed semasa Sesi Pembentangan Kertas Kerja, Seminar Antarabangsa ke-3 bagi Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, hari ini.

Dalam pembentangan itu, kesimpulan yang turut dikongsi adalah pembungkusan bukan sahaja hanya dilihat daripada aspek tulisan tetapi juga merangkumi status agama pengeluar dan negara asal satu-satu produk makanan itu.

Di samping itu, keyakinan pengguna terhadap produk makanan turut dipengaruhi daripada kepercayaan yang telah sekian lama pada pengeluar produk makanan. Faktor-faktor yang didapati daripada kajian berkenaan menunjukkan bahawa rakyat Brunei yang beragama Islam masih menitikberatkan soal isu makanan halal.

Para ahli panel semasa Sesi Pembentangan Kertas Kerja, Seminar Antarabangsa ke-3 bagi Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin.
Di antara mereka yang menghadiri Sesi Pembentangan Kertas Kerja, Seminar Antarabangsa ke-3 bagi Produk dan Perkhidmatan Halalan Thayyiban yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

“Ini selaras dengan konsep negara, Melayu Islam Beraja yang menjadi pegangan dan amalan masyarakat di Brunei. Ini menunjukkan dasar dan polisi kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam adalah menuju ke jalan yang diredai oleh Allah SWT iaitu negara baik yang disebut dalam Al-Quran sebagai negara ‘Baldatun Tayyibatun Warrabun Ghafur’,” jelasnya.

Kajian yang dibentangkan oleh Pengiran Dr Hajah Siti Norainna dan Dayang Noralipah menyatakan bahawa pemilihan makanan halal merupakan aspek penting yang perlu diambil kira dalam kehidupan setiap pengguna beragama Islam di Brunei.

Kefahaman tentang aspek-aspek pemilihan makanan halal di Brunei terutamanya pengguna yang beragama Islam adalah penting bagi memastikan umat Islam mengambil produk makanan yang mematuhi syariah.

Justeru itu, kajian itu menumpukan kepada persepsi dan faktor penentu pengguna Islam di Brunei dalam pemilihan makanan halal.

Menurut mereka lagi, responden dipilih dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Brunei kerana kumpulan itu ialah kelompok terbesar di Brunei dan kajian menggunakan gabungan pendekatan kuantitatif dan kualitatif dengan menggunakan borang soal selidik dan temu bual sebagai instrumen kajian.

Semasa sesi pembentangan itu, tiga buah kertas kerja lain turut dibentangkan iaitu kertas kerja bertajuk ‘Preservation and Protection of Environment and Health As New Essential Value of Maqasid Shariah’ oleh Dayang Raihana binti Mohd Raffi dan Profesor Dr Nurdeng Deuraseh, kertas kerja bertajuk ‘Kehalalan Rezeki: Analisis Sumber Pemilikan Harta’ yang dibentangkan oleh Dr Nurol Huda binti Pehin Datu Maharaja Dato Seri Utama (Dr) Haji Ismail dan kertas kerja bertajuk ‘Perkhidmatan Peguam Bela dan Peguam Cara dari Firma-firma Peguam Syarie’ yang dibentangkan oleh Haji Suhaili bin Haji Momin.