Friday, April 19, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Loji kuasa China bantu pengairan pertanian Turki

    ADANA, TURKI – Berdepan dengan kemarau yang kronik, petani di selatan Turki telah beralih kepada loji jana kuasa haba dibiayai China yang menyediakan penyelesaian pengairan dengan air sisa mesra alam.

    Terletak di Sugozu di Wilayah Adana, loji jana kuasa Emba Hunutlu yang menggunakan arang batu ialah loji jana kuasa stackless yang pertama di negara itu dan mewakili pelaburan langsung terbesar China di Turki.

    Projek 1,320-MW itu dijangka menjana 9 bilion kilowatt-jam kuasa setiap tahun apabila beroperasi sepenuhnya, menyumbang tiga peratus daripada jumlah bekalan elektrik di seluruh Turki.

    Dilengkapi dengan sistem perlindungan alam sekitar yang canggih, loji kuasa boleh membuang bahan tercemar daripada air sisa dan menukarkannya kepada efluen boleh dikitar semula, yang kesannya terhadap alam sekitar boleh diterima dan digunakan semula untuk pelbagai tujuan.

    “Air sisa industri dari loji kuasa Emba Hunutlu digunakan semula untuk pengairan pertanian dan petani mendapat manfaat daripadanya,” kata Ali Dogan, ketua desa Sugozu.

    Pemandangan daripada udara menunjukkan loji kuasa Emba Hunutlu di Sugozu di Wilayah Adana di selatan Turki. – Xinhua

    “Sehingga kini, kami tidak melihat sebarang kemudaratan berpunca daripada air ini. Kualiti tanaman kami sama dan kami tidak menyaksikan sebarang masalah alam sekitar yang timbul daripada loji jana kuasa haba berkenaan,” tambah Dogan yang juga seorang petani.

    Pelaburan dari China ini juga memainkan peranan penting dalam pekerjaan serantau dan kemampanan, kata ketua desa itu kepada Xinhua.

    Sementara itu, Duhan Araz, ketua jurutera alam sekitar di loji jana kuasa Emba Hunutlu, menekankan ‘pencemaran alam sekitar sifar’ untuk projek itu.

    Ujian yang dibuat dalam pemantauan telaga telah menunjukkan tiada pencemaran alam sekitar dalam air bawah tanah, kata Araz kepada Xinhua.

    “Keutamaan utama kami adalah untuk meminimumkan kemudaratan kepada alam sekitar dengan operasi rawatan maksimum untuk membuang bahan tercemar,” katanya.

    Syarikat China telah menyumbang kepada pembangunan mampan Turki, dengan dedikasi kepada projek potovoltaik tempatan, loji kuasa hidro, kemudahan penyimpanan gas asli dan pembinaan kereta api, menurut laporan mengenai komitmen pembangunan mampan oleh syarikat China di Turki yang dikeluarkan oleh State Power Investment Corporation yang berpangkalan di Beijing pada bulan Disember. Loji kuasa Emba Hunutlu adalah paradigma sumbangan dari China.

    “Kami tidak mempunyai air sebelum ini, tetapi selepas pembinaannya (loji jana kuasa), kami mendapat manfaat daripada airnya dan masih ada sehingga hari ini,” kata Adem Kargi, seorang petani tempatan.

    “Saya menjalankan penanaman buah zaitun dan biasanya boleh mendapat hasil pertama dalam tujuh tahun, tetapi dengan air ini, saya mula mendapat buah zaitun dalam masa empat tahun sahaja,” tambah Kargi.

    Veli Kayali, seorang petani tembikai, turut melahirkan rasa syukur atas pembinaan loji jana kuasa itu.

    “Pada musim ini apabila tiada sumber air semula jadi di wilayah ini, loji jana kuasa akan menyelamatkan dan ia tidak menjejaskan kualiti hasil dalam apa cara sekalipun,” kata Kayali. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...