Loji kuasa nuklear Barakah bakal beroperasi

ABU DHABI, 18 FEB – Pihak berkuasa yang bertanggungjawab mengawal selia nuklear, FANR di Emiriah Arab Bersatu (UAE), memberi lesen kepada Nawah Energy Company untuk menjalankan operasi Loji Kuasa Nuklear Barakah, sekali gus menjadikan UAE negara pertama di rantau Arab mengendalikan loji kuasa nuklear.

Pada sidang akhbar di Abu Dhabi semalam, FANR berkata pihaknya juga membenarkan Nawah beroperasi dan mengendalikan Unit 1 loji kuasa nuklear yang terletak di Al Dhafra, Abu Dhabi, untuk tempoh 60 tahun, lapor agensi berita Emiriah Arab Bersatu (WAM).

Nawah merupakan anak syarikat Perbadanan Tenaga Nuklear Corporation.

“Pengumuman hari ini merupakan satu lagi peristiwa penting bagi UAE, kemuncak kepada usaha selama 12 tahun ke arah pembangunan Program Tenaga Nuklear UAE, FANR memainkan peranan penting untuk mengubah visi ini menjadi kenyataan,” kata Duta Besar Hamad Al Kaabi, Wakil Tetap UAE untuk Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Timbalan Pengerusi FANR.

“Keputusan yang diumumkan hari ini adalah hasil usaha gigih dan kerjasama dengan pemegang kepentingan negara dan antarabangsa seperti IAEA, Republik Korea dan badan pengawalseliaan antarabangsa yang lain,” tambah Al Kaabi.

UAE sedang membina empat unit di Loji Kuasa Nuklear Barakah, Unit 1 telah siap sepenuhnya manakala tiga unit lagi masih dalam pembinaan. – Bernama