Loji pemangkin pembangunan industri hiliran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, permintaan bagi produk-produk petroleum yang ditapis terus meningkat, di mana ia menyaksikan perkembangan yang pesat bagi industri hiliran secara global.

Dalam hubungan itu, Negara Brunei Darussalam turut serta dalam pelaburan skala besar bagi projek-projek hiliran untuk menjana peluang bagi pasaran eksport serta industri domestik.

Salah satu daripada projek mega hiliran negara yang sedang dalam pembinaan ialah Loji Ammonia dan Urea yang dikendalikan oleh Brunei Fertilizer Industries Sdn Bhd (BFI) di mana pembinaan loji canggih di atas tapak seluas 55 hektar di Taman Perindustrian Sungai Liang (SPARK) bermula pada Mei 2018 dan dijadualkan bagi penghasilan urea pertama pada suku kedua 2021 seperti yang diketengahkan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-74.

Loji BFI itu dimiliki secara majoriti oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, di sini, Loji BFI itu merupakan salah satu daripada dua projek besar hiliran minyak dan gas di Brunei bersama-sama dengan Loji Penapisan dan Petrokimia di Pulau Muara Besar.

Apabila siap nanti, Loji BFI akan menjadi di antara loji baja yang terbesar di Asia Tenggara. Loji itu dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Offsite & Utilities, Loji Ammonia dan Urea. Loji berkenaan mampu untuk menghasilkan sebanyak 2,200 tan metrik ammonia dan 3,900 tan metrik urea sehari, menjadikannya single train terbesar di dunia yang pernah dibina serta akan dieksport ke industri pertanian di rantau ini.

Tapak Loji BFI di Taman Perindustrian Sungai Liang. – Gambar serahan Kementerian Tenaga

Kementerian Tenaga adalah bertanggungjawab dalam memudahkan projek BFI dan komited untuk memastikan sumbangan sektor berkenaan kepada peluang pekerjaan tempatan serta meningkatkan manfaat strategik ekonomi negara.

Pada 2018, Kementerian berkenaan telah mengeluarkan Direktif Bruneianisasi sebagai sebahagian daripada pelan strategik untuk memastikan warga Brunei memimpin dan menerajui industri minyak dan gas.

Aspirasi direktif berkenaan adalah untuk mencapai secara minimum 90 peratus Bruneianisasi di semua peringkat dan kumpulan kemahiran di dalam setiap syarikat dalam industri minyak dan gas.

Selaras dengan direktif berkenaan, BFI adalah komited untuk menawarkan individu-individu sebuah platform yang kukuh bagi mereka untuk belajar daripada pakar-pakar antarabangsa dalam usaha untuk meningkatkan lagi ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pasaran global.

Sebagai sebahagian daripada komitmen BFI dalam membangunkan bakat tempatan, seramai 161 orang pelatih telah menjalani pelbagai program latihan di bawah program latihan operasi dan penyelenggaraan BFI di Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), Terengganu, Malaysia, ASEAN Bintulu Fertilizer di Bintulu, Petronas Chemical Fertilizers di Kedah dan Gas Processing Plant Utilities di Kertih.

Pelatih-pelatih berkenaan ditempatkan di Loji BFI bagi latihan hands-on dalam pelbagai disiplin yang merangkumi operasi, penyelenggaraan, keselamatan dan makmal untuk menamatkan program latihan 12 bulan mereka.

Pelatih-pelatih berkenaan juga dimentor dan dilatih oleh pakar-pakar industri BFI yang berkenaan bagi memupuk pengetahuan mereka dalam aspek teknikal loji termasuk proses, fungsi dan peralatannya.

Pelatih-pelatih akan ditawarkan pekerjaan sepenuh masa dengan BFI apabila menamatkan program latihan. Dalam menyokong bakat tempatan negara dalam bidang teknikal dan bukan teknikal, BFI juga telah mengambil seramai 16 orang pelatih i-Ready pada 2018 dan 2019 yang pada masa ini, bekerja sepenuh masa di BFI.

Sehingga Ogos 2020, tenaga kerja BFI adalah seramai 357 orang yang merangkumi profesional berpengalaman dalam industri dan pelatih-pelatih. BFI menyasarkan keseluruhan sebanyak 500 peluang pekerjaan langsung semasa tahun pertama operasinya di mana 70 peratus tenaga kerja berkenaan adalah warga tempatan. Projek BFI juga akan menyediakan peluang-peluang kepada kontraktor tempatan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi penyediaan perkhidmatan sokongan dalam bidang pembinaan, penyelenggaraan, pengangkutan, logistik, katering dan penginapan.