Loji penapisan minyak terbakar

BANDAR KUWAIT, 18 OKT – Kebakaran meletus hari ini di loji penapisan minyak terbesar Kuwait, menyebabkan beberapa kecederaan namun tiada gangguan berlaku di tapak operasi mahupun pengeksportan petrol.

Kepulan asap tebal kelihatan di kemudahan Mina al-Ahmadi terletak di pesisir Teluk hanya bersebelahan Iran, kira-kira 40km selatan bandar Kuwait, menurut jurnalis foto AFP.

Syarikat Petrol Kerajaan Kuwait, pada awalnya mengatakan tidak ada korban jiwa dilaporkan, kemudian dalam laman Twitter menyatakan jumlah mereka yang cedera dan kes pekerja yang terhidu asap.

Ia berkata mereka yang cedera telah menerima rawatan di lokasi kejadian atau telah dipindahkan ke hospital dan dalam keadaan yang stabil.

Kira-kira dua jam selepas syarikat melaporkan anggota bomba berada di tempat kejadian, ia mengatakan kebakaran sudah ‘dikawal sepenuhnya’.

Kilang penapisan Mina al-Ahmadi di tapak berkeluasan 10.5 kilometer persegi mula beroperasi pada tahun 1949.

Ia adalah loji penapisan yang terbesar daripada tiga lainnya milik syarikat petrol kerajaan, menghasilkan sekitar 466,000 tong petrol sehari.

Kilang penapisan keempat dengan kapasiti pengeluaran sekitar 615,000 tong sehari sedang dalam pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada hujung tahun ini.

Emiriah Teluk kaya minyak itu menghasilkan kira-kira 2.4 juta tong petrol sehari, yang kebanyakannya dieksport. – AFP

Gambar serahan KNPC pada 18 Oktober menunjukkan Menteri Minyak Kuwait, Mohammad al-Fares bekerjasama dengan anggota bomba di kemudahan Mina al-Ahmadi. – AFP