Monday, March 24, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Loji pengasingan udara Brunox dilancarkan

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 2 Ogos – Loji Unit Pengasingan Udara Brunei Oxygen Company (Brunox), perkongsian antara Air Liquide dan QAF Brunei Sdn Bhd dilancarkan hari ini dalam majlis yang berlangsung di Tapak Perindustrian Ringan, Kuala Belait.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan merasmikan pelancaran loji tersebut ialah Menteri Tenaga, Tenaga Manusia dan Perindustrian, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.

    Turut hadir ialah Naib Presiden Industrial Merchant dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Liquide Asia Tenggara, Virginie Cavalli; Ketua Pegawai Eksekutif QAF Brunei Sdn Bhd, Albert Lau; Pengurus Besar Brunei Oxygen Sdn Bhd, Stephen Supan, duta-duta besar dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi ke Brunei Darussalam, setiausaha-setiausaha tetap dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta pemimpin industri lainnya.

    Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny dan Virginie Cavalli.

    Ia diteruskan dengan tayangan multimedia sebelum upacara pemotongan reben yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny, Virginie Cavalli, Albert Lau, Stephen Supan, Duta Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Christian Ramage dan pengurus komersial Air Liquide Singapura.

    Menteri Tenaga, Tenaga Manusia dan Perindustrian ketika menyaksikan pameran.
    Naib Presiden Industrial Merchant dan Ketua Pegawai Eksekutif Air Liquide Asia Tenggara, ketika menyampaikan ucapan.
    Brunei Oxygen Company (Brunox), perkongsian antara Air Liquide Group dan QAF Brunei Sdn Bhd yang telah melancarkan loji unit pengasingan udara pertama di negara ini.

    Virginie Cavalli dalam ucapan alu-aluannya menggambarkan perkongsian terbaharu ini sebagai kejayaan kerjasama signifikan bersama rakan kongsi mereka, QAF Brunei yang berpanjangan semenjak tahun 1983 lagi.

    Beliau turut menjelaskan serba sedikit mengenai penemuan teknik pemisahan udara bermula pada tahun 1902 oleh salah seorang pengasas Kumpulan Air Liquide, Georges Claude, yang telah mengambil masa dua tahun percubaan di garaj bas, Paris untuk menyempurnakan proses pencairan udara. Proses tersebut masih sama seperti yang digunakan hari ini namun sudah pun mengalami banyak penambahbaikkan.

    “Udara telah ditulenkan, dimampatkan dan dihasilkan melalui penyulingan kriogenik dengan prinsip-prinsip fizikal dikekalkan. Georges Claude memperbaiki prosesnya melalui percubaan dan kesilapan tetapi masih meneruskannya ke lapangan yang belum diterokai.

    “Di sini, bersama rakan kongsi kami, QAF Brunei, kami juga sama-sama melabur untuk menyediakan pasaran yang lebih baik di negara ini.

    “QAF Brunei sememangnya sudah terkenal sebagai sebuah kumpulan syarikat yang mempunyai pelbagai portfolio pelaburan antaranya industri minyak dan gas, makanan dan pertanian, media cetak dan digital, automobil, penyaman udara serta pembangunan hartanah,” ujarnya.

    Menurut beliau lagi, sejak tahun 1962 Brunox telah mengimport gas cecair dan silinder untuk keperluan pelanggannya.

    Keputusan untuk penghasilan tempatan di negara ini diambil pada tahun 2015 dan pengeluaran tempatan berada pada kedudukan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan pelanggan, selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, meningkatkan kecekapan teknikal dan menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara.

    Menurutnya lagi, loji pengasingan udara baharu ini membawa perkongsian ke tahap yang lebih baik dengan terbinanya kilang baharu untuk menyokong pasaran Brunei dalam pengeluaran nitrogen cecair, oksigen dan argon yang direka untuk memenuhi permintaan masa hadapan.

    Sementara itu, Albert Lau, menyimpulkan perkongsian dengan Air Liquide telah bertahan mengharungi ujian masa dan sama-sama diberikan penghormatan untuk memberikan sumbangan mengembang majukan industri gas di negara ini sekali gus mencipta lebih banyak peluang menggembleng tenaga kerja tempatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda