Lokasi feri mungkin sudah ditemui

SIMALUNGUN, Indonesia, 25 Jun – Pihak berkuasa Indonesia berkata hari ini mereka rasa telah berjaya mengenal pasti lokasi feri yang sarat dengan penumpang dan tenggelam di dalam tasik gunung berapi sekali gus mengakibatkan puluhan orang hilang dan dianggap telah mati.

Penemuan itu mungkin merupakan satu kejayaan besar dalam usaha mencari kapal yang tenggelam pada minggu lepas di tasik Toba, destinasi pelancong yang cantik di Sumatera.

“Satu objek berukuran 20 meter dengan lima meter ditemui pada kedalaman 450 meter semalam,” kata Muhammad Syaugi, ketua agensi mencari dan menyelamat negara.

“Rupa bentuknya seakan-akan sama dengan kapal tersebut,” beritahu Syaugi kepada AFP.

Bagaimanapun, analisis lanjut diperlukan untuk mengesahkan sama ada ia adalah kapal yang tenggelam itu, tambahnya.

Gambar fail pada 20 Jun 2018 menunjukkan anggota keselamatan menggunakan teropong dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa feri yang tenggelam di tasik Toba, Sumatera Utara, Indonesia. Pihak berkuasa menyatakan mereka mungkin sudah mengenal pasti lokasi feri yang tenggelam itu. – AFP

Tasik Toba, yang memenuhi kawah gunung berapi yang meletus dalam satu letusan besar berpuluh ribu tahun lalu, adalah salah satu tasik paling dalam di dunia, menjunam kira-kira 500 meter jarak dalamnya.

Disebabkan kedalamannya, kumpulan mencari akan menggunakan kenderaan dalam air kawalan jauh untuk membantu mengenal pasti objek berkenaan.

Tiga orang penumpang telah disahkan mati dalam kemalangan itu, dengan 18 mangsa berjaya diselamatkan. Anggaran rasmi menyenaraikan 193 orang yang lain, termasuk kanak-kanak, dilaporkan hilang.

Bot kayu tradisional itu mungkin membawa lima kali ganda jumlah penumpang yang dibenarkan, selain daripada berpuluh motosikal, kata pegawai tersebut.

Kapal itu dipercayai beroperasi tanpa berdaftar atau tiket penumpang dan pihak berkuasa telah bergelut untuk mengenal pasti jumlah sebenar penumpang yang menaiki feri itu apabila ia tenggelam dalam keadaan cuaca yang buruk.

Jumlah yang tinggi telah menimbulkan kebimbangan bahawa banyak mayat yang terperangkap dalam feri di dasar tasik tersebut.

Kemalangan itu mungkin merupakan salah satu bencana laut paling teruk di Indonesia.

Selain daripada itu, ketua polis negara Tito Karnavian berkata penyiasat telah membongkar beberapa pelanggaran.

Empat suspek telah pun dinamakan, termasuk kapten bot, serta tiga pegawai kanan di pelabuhan Simanindo, katanya. – AFP