Lokasi persidangan AS-Utara disenarai pendek

WASHINGTON, 10 Okt – Presi-den Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata bahawa perancangan bagi persidangan seterusnya bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un sudah berjalan dan ‘tiga atau empat lokasi’ telah disenarai pendek.

Trump berkata di Rumah Putih bahawa pertemuan itu ‘mungkin’ bukan di Singapura, di mana persidangan pertama bersejarah tercatat di sana pada bulan Jun.

Perbincangan kedua-dua pemimpin itu telah menghentikan program senjata nuklear dan permusuhan antara Washington dan Pyongyang.

Trump berkata dari segi tempoh masa, persidangan ‘tidak akan begitu lama’, dan kemudian memberitahu para wartawan bahawa ia mungkin diadakan selepas pilihan raya penggal pertengahan pada 6 November.

Dia juga berkata mungkin terdapat pertemuan di tanah AS.

“Di negara mereka juga,” tambah Trump.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo telah bertemu dengan Kim Isnin lalu di Pyongyang bagi membincangkan persidangan seterusnya.

“Saya kembali lewat semalam dari lawatan Korea Utara, di mana kami menghasilkan perkembangan positif. Namun perjalanan masih jauh dan

banyak kerja yang perlu diselesaikan, kini kita boleh lihat laluan mana yang akan membawa kita untuk mencapai matlamat tertinggi iaitu pengesahan akhir dan penuh bagi menamatkan program nuklear Korea Utara,” kata Pompeo di Rumah Putih.

“Kami akan mengetahui lebih lanjut dan bercakap banyak mengenainya apabila presiden bertemu dengannya di persidangan kemuncak kedua nanti.”

Trump bercakap mengenai ‘perkembangan hebat’, memuji ketiadaan ujian peluru berpandu dan nuklear tahun ini dan kembalinya peninggalan ahli perkhidmatan AS yang ter-bunuh semasa Perang Korea.

“Anda tidak mendapati ujian-ujian nuklear, tiada peluru berpandu dan kami mempunyai hubungan baik dengan Pengerusi Kim, yang mana ia benar-benar penting,” kata Trump.

“Saya menyukainya, dia menyukai saya, ia adalah hubungan yang sangat baik.” – AFP